Home Hiburan AMIR AHNAF SUKA SAINGAN POSITIF

AMIR AHNAF SUKA SAINGAN POSITIF

KUALA LUMPUR: Amir Ahnaf tidak menganggap kemunculan ramai bakat baharu dalam industri lakonan sebagai saingan, sebaliknya melihat perkembangan itu sebagai sesuatu yang positif dan mampu meningkatkan kualiti industri kreatif.

Memetik laporan Berita Harian, Amir, 26, berkata kehadiran lebih ramai pelakon berbakat membuka peluang untuk mereka saling berkongsi ilmu, selain meneroka pelbagai dimensi baharu dalam dunia lakonan.

“Semuanya bergantung kepada perspektif seseorang pelakon. Sebenarnya saya lebih suka kalau ada ramai pelakon yang lebih bagus, lebih berbakat dan lebih hebat daripada saya.

“Sekurang-kurangnya saya boleh belajar daripada mereka dan kami boleh saling berkongsi ilmu. Saya percaya kemahiran seorang pelakon adalah sentiasa mampu sesuaikan diri dengan setiap pelakon gandingan.

“Bukan sekadar sesuaikan diri, tetapi kita juga perlu mengasah kemahiran komunikasi dan kebolehan untuk beradaptasi. Ini bukan soal saya bekerja dengan siapa, tetapi soal kerjasama,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama Cinta Dalam Sekam dan What’s Next On Viu di Odeon Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Penerima trofi BBNU Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 itu berkata, keutamaan setiap pelakon adalah memberikan yang terbaik dalam setiap projek yang diamanahkan.

Menurut Amir, keupayaan menghidupkan sesuatu watak mengikut kehendak pengarah dan penulis menjadi antara aspek penting dalam menghasilkan karya yang berkualiti.

“Pelakon ibarat kanvas dalam sesebuah karya. Jika pengarah dan penulis mahukan kita menjadi biru, maka kita perlu menjadi biru. Kalau kita pula mahu menjadi merah atau kuning, itu bermakna kita tidak percaya kepada karakter itu.

“Apabila kita tidak percaya, karakter itu tidak akan diterjemahkan dengan jujur.

“Jadi, bagi saya sebagai pelakon, saya perlu benar-benar jujur dengan apa yang saya lakukan. Selagi saya jujur, selagi itulah penonton akan dapat merasainya,” katanya.

Amir berkata, dia tidak terlalu memilih tawaran lakonan, sebaliknya lebih menitikberatkan individu yang akan bekerjasama dengannya dalam sesebuah produksi.

“Saya terima apa sahaja tawaran. Asalkan saya berada di tangan yang betul, tulus dan jujur, saya juga akan memberi yang terbaik dengan penuh kejujuran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amir membintangi drama terbaharu terbitan Viu, Cinta Dalam Sekam, yang mula distrim secara eksklusif di platform penstriman itu sejak 16 Julai lalu.

Drama arahan Feroz Kader itu turut dibintangi Siti Khadijah Halim, Haidar Hasanudin, Riz Amin dan Husna Mustaffa. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here