Home Buletin Semasa POLIS SIASAT KEMATIAN DUA PELAJAR PEREMPUAN DI FLAT SUNGAI PARI

POLIS SIASAT KEMATIAN DUA PELAJAR PEREMPUAN DI FLAT SUNGAI PARI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

IPOH: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kematian dua pelajar perempuan berusia 14 tahun yang ditemukan meninggal dunia di kawasan Flat Sungai Pari di sini, petang Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada Jumaat lalu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dipercayai meninggalkan kawasan sekolah secara sukarela sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

“Kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia.

“Setakat ini, siasatan tidak menemukan sebarang keterangan yang menunjukkan penglibatan mana-mana pihak lain dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan punca sebenar kematian hanya dapat dipastikan selepas laporan bedah siasat serta analisis forensik diperoleh.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa serta menasihatkan orang ramai supaya menghormati privasi keluarga.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu siasatan polis.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here