Home Buletin Semasa ANAK KELANTAN CIPTA SEJARAH, ALIFF RAKIB JUARA DUNIA ONE CHAMPIONSHIP

ANAK KELANTAN CIPTA SEJARAH, ALIFF RAKIB JUARA DUNIA ONE CHAMPIONSHIP

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Anak jati Kelantan, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, mencipta sejarah apabila muncul rakyat Malaysia pertama merangkul gelaran Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship selepas menewaskan jaguh Thailand, Sam-A Gaiyanghadao.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), kejayaan bersejarah itu dilakar dalam pertarungan yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok semalam, sekali gus mengharumkan nama Kelantan dan Malaysia di pentas sukan tempur antarabangsa.

Pada usia 22 tahun, Aliff Rakib mempamerkan aksi penuh bersemangat untuk menewaskan bekas juara dunia ONE Championship dari Thailand itu, sekali gus membuka lembaran baharu buat arena Muay Thai negara.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kejayaan tersebut adalah satu pencapaian yang amat membanggakan buat seluruh rakyat Kelantan dan Malaysia.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur serta mengucapkan tahniah kepada Aliff Rakib atas kejayaan bersejarah itu.

“Alhamdulillah, tahniah kepada adik Aliff Rakib atas kejayaan mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama merangkul gelaran Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok.

“Ia adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan buat Kelantan dan seluruh Malaysia,” katanya.

Kejayaan Aliff Rakib bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di pentas ONE Championship, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mencipta kecemerlangan dalam sukan tempur di peringkat dunia.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here