Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang memasang tiga unit peranti penjejak satelit telemetri pada badan penyu agar bagi mengesan kedudukan terkini reptilia marin itu selepas dilepaskan.
Pengarahnya, Roslan Abu Hasan berkata, tahun lalu satu unit peranti dipasang dan minggu lalu dua unit lagi dipasang pada penyu agar yang berat antara 116 kilogram (kg) dan 140kg kemudian dilepaskan diperairan Cherating, dekat sini.
Menurutnya, peranti satelit dipasang bagi membolehkan pergerakan reptilia berkenaan dipantau setiap hari dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun bergantung pada ketahanan bateri pada alat berkenaan.
Katanya, apabila penyu berada di permukaan air untuk bernafas, ketika itu pegawai bertanggungjawab akan segera mengambil data terutama membabitkan kedudukan serta jarak.
“Pemasangan peranti penjejak satelit telemetri juga bertujuan untuk membuktikan teori yang mengatakan penyu akan datang semula pesisir pantai untuk bertelur selepas kali pertama bertelur di situ.
“Sebelum ini kita berjaya mengesan kedudukan seekor penyu agar yang dipasang penjejak satelit sedang berada diperairan Indonesia,” katanya, dihubungi di sini semalam.
Beliau menambah, pihaknya sedia menambah jumlah penjejak satelit namun ia bergantung pada peruntukan Ibu Pejabat Perikanan Malaysia, kerana difahamkan beberapa negeri turut akan mendapat kemudahan teknologi itu.
Sebelum ini Jabatan Perikanan Melaka (2021) dan Jabatan Perikanan Perak (2025) menerusi alat berkenaan. Difahamkan kini terdapat lebih 150 peranti satelit dipasang pada penyu seluruh negara.
Roslan berkata, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Cherating kini menjadi pengeluar utama anak penyu di negeri ini, telur penyu yang ditemui di kawasan pesisir pantai Cherating dieram kemudian dilepaskan ke laut.

Katanya, selepas ditutup mementara pada Oktober 2023 bagi kerja menaik taraf termasuk membina pelbagai kemudahan, kini PKPP Cherating yang berwajah baharu dibuka semula sepenuhnya untuk lawatan.
PKPP Cherating sebelum ini menjadi antara produk pelancongan utama di Pahang terutama di daerah ini, pelancong yang datang ke daerah ini pasti tidak melepaskan peluang datang bersama keluarga untuk melihat lebih dekat penyu dalam kolam, pameran hidupan marin, menonton tayangan video dan melihat petak penetasan telur penyu.
“Operasi PKPP Cherating kini berjalan seperti biasa dan pelancong boleh datang beramai-ramai, Isnin hingga Jumaat bermula 10 pagi hingga 4 petang.
“Kita turut menyediakan kawasan perkhemahan bagi mereka yang ingin mengadakan aktiviti pendidikan secara berkumpulan, sebelum ini aktiviti perkhidmatan banyak diadakan oleh sekolah dan universiti.
IMedikel TV






