Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Cubaan sindiket menyeludup keluar 113.776 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bersama katrij rokok elektronik (vape) mengandungi cecair dadah bernilai keseluruhan RM6.1 juta ke Indonesia berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang dalam satu operasi di perairan selatan Pulau Rimau, 17 Julai lalu.
Bot fiber yang dinaiki dua lelaki warga Indonesia berusia 30 dan 51 tahun itu dipintas kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Rimau selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan 113.776kg dadah disyaki syabu bernilai RM5.69 juta yang disorokkan di dalam beberapa karung di ruang khas di bahagian hadapan bot.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar atau transporter laut yang membawa bekalan dadah dari Malaysia untuk diseludup ke Indonesia.
“Mereka dipercayai menerima upah sebanyak RM10,000 seorang bagi setiap perjalanan untuk membawa bekalan dadah keluar dari negara ini.
“Rampasan ini bukan sahaja menggagalkan cubaan menyeludup dadah ke luar negara, malah berjaya menghalang pengedaran syabu yang dianggarkan boleh digunakan oleh lebih 570,000 penagih.
“Cecair dadah dalam katrij vape yang dirampas pula dipercayai mampu dibekalkan kepada kira-kira 31,500 penagih,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Batu Uban, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Kheng dan Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim.
Mohd Yusri berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah dan bot fiber yang digunakan dalam kegiatan itu dianggarkan mencecah RM6.1 juta.
Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Op Taring Gelora yang dilaksanakan PPM Wilayah Satu Pulau Pinang sejak Jun lalu merekodkan 337 kes dengan sembilan tangkapan serta nilai rampasan berjumlah RM226,150.
“Sepanjang tempoh sama, PPM Wilayah Satu turut merekodkan keseluruhan 361 kes dengan 49 tangkapan membabitkan rampasan bernilai RM10.44 juta,”katanya.
IMedikel TV






