MONTREAL: Inter Miami memburu kemenangan keenam berturut-turut apabila bertandang ke gelanggang CF Montreal dalam aksi Liga Bolasepak Amerika Syarikat (MLS), awal pagi esok.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, penyerang Uruguay, Luis Suarez, menjadi watak utama apabila meledak dua gol ketika Inter Miami menewaskan Chicago Fire 3-2, Rabu lalu, dalam aksi pertama pasukan itu selepas tamat kempen Piala Dunia.
Suarez kini meledak lima gol dalam dua perlawanan liga terakhir selepas turut menjaringkan hatrik ketika menentang Philadelphia pada 24 Mei lalu.
Inter Miami yang mengumpul 34 mata hasil 10 kemenangan, dua seri dan empat kekalahan hanya gagal meraih mata dalam dua perlawanan musim ini.
“Saya mahu mengucapkan tahniah bukan kepada seorang pemain sahaja, tetapi kepada seluruh skuad.
“Mereka melakukan tugas yang luar biasa sepanjang tempoh ini dan kami berada di landasan yang tepat,” kata jurulatih sementara Inter Miami, Guillermo Hoyos.
Bagaimanapun, Inter Miami dijangka turun tanpa dua tonggak utama, Lionel Messi dan Rodrigo De Paul, yang diberikan rehat bagi memulihkan tenaga selepas membantu Argentina mara ke final Piala Dunia 2026.
Sementara itu, Montreal mahu menamatkan kemarau kemenangan selepas hanya mengutip satu daripada enam mata maksimum sejak saingan MLS bersambung semula selepas Piala Dunia.
Skuad kendalian Philippe Eullaffroy tewas 0-1 kepada Nashville, Rabu lalu, sekali gus melanjutkan rekod tanpa kemenangan kepada lima perlawanan berturut-turut dengan tiga seri dan dua kekalahan.
Kemenangan terakhir Montreal dalam liga adalah ketika menewaskan Orlando City 2-0 pada 9 Mei.
Dalam usaha memperkukuhkan benteng pertahanan, Montreal mengumumkan ketibaan pertahanan Brayan Ceballos daripada New England Revolution.
Sebagai pertukaran, Montreal menyerahkan AS$500,000 (RM2.1 juta) dalam Dana Peruntukan Am (GAM) bagi musim 2026, AS$250,000 (RM1.05 juta) untuk musim 2027 serta tambahan sehingga AS$100,000 (RM420,000) bergantung kepada syarat tertentu.
“Brayan ialah pertahanan yang boleh diharap dan versatil. Dia mampu bermain dalam pelbagai sistem dan akan melengkapkan kekuatan yang sudah kami miliki di bahagian pertahanan,” kata Pengarah Pengambilan dan Metodologi Sukan Montreal, Luca Saputo.
Dalam urusan berasingan, Montreal turut memperoleh sehingga AS$625,000 (RM2.63 juta) dalam GAM daripada San Diego FC sebagai pertukaran kepada pertahanan Dagur Dan Thorhallsson.
Pertemuan awal pagi Ahad itu adalah yang pertama daripada dua aksi antara kedua-dua pasukan musim ini, sebelum mereka bertemu semula di Florida pada 29 Ogos.
Musim lalu, Inter Miami menguasai kedua-dua pertemuan dengan jaringan agregat 8-3 ke atas Montreal.-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






