PASIR PUTEH: Seorang lelaki berusia 36 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, sehari selepas dipercayai mengalami sawan sebelum motosikal yang ditungganginya terbabas dalam kejadian di Pasir Puteh, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh menerima panggilan daripada Bilik Gerakan pada jam 2.26 petang semalam memaklumkan seorang mangsa kemalangan telah disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HPUSM.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3.30 petang pada Khamis lalu ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM bersendirian dalam perjalanan dari arah Taman Kobena menghala ke simpang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai mengalami sawan sebelum motosikal yang ditungganginya terbabas dan mangsa terjatuh di tengah jalan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Tengku Anis dan kemudian dirujuk ke HPUSM Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 11.25 pagi semalam ketika menerima rawatan di HPUSM.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik IPD Pasir Puteh, Sub Inspektor Jafri Alias di talian 019-938 6224.
IMedikel TV






