Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Suasana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1 bertukar meriah apabila kira-kira 7,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri pekarangan sekolah itu bagi menyertai Fun Walk Bertema Robotik, pagi tadi.
Seawal pagi, padang sekolah dipenuhi peserta yang hadir bersama keluarga, rakan-rakan dan warga sekolah.
Sebelum memulakan acara berjalan kaki, mereka terlebih dahulu mengambil bahagian dalam sesi senamrobik yang berlangsung dalam suasana penuh ceria dan bertenaga.
Program diteruskan dengan acara pelepasan peserta bagi laluan sejauh tiga kilometer yang bermula dan berakhir di padang SMK Zainab 1.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Nurina Muhamad berkata, beliau tidak menyangka program itu mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan membuktikan masyarakat semakin menyedari kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Kesihatan yang baik menjadi asas kepada kecemerlangan pendidikan kerana tubuh yang sihat membantu melahirkan pelajar yang lebih cergas, fokus dan berdaya saing,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Turut berucap ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim yang menyifatkan penganjuran program seumpama itu sebagai platform terbaik untuk mengeratkan hubungan antara sekolah dan komuniti, di samping memupuk budaya hidup sihat.
Acara pelepasan peserta atau flag off disempurnakan oleh Siti Nurina bersama Dr Hafidzah kira-kira jam 8 pagi, sekali gus menandakan bermulanya perjalanan peserta mengelilingi laluan yang telah ditetapkan.

Hadir sama Naib Presiden IMedikel, Hasnah Zakaria.
Penganjuran Fun Walk Bertema Robotik bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah turut membawa mesej bahawa dunia pendidikan hari ini perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan inovasi, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi yang cergas, kreatif dan celik teknologi.
IMedikel TV






