GUA MUSANG: Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bot fiber di Sungai Batu 6, Kampung Renok, di sini pada 20 Julai lalu, ditemukan meninggal dunia hari ini selepas lima hari operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 1.30 petang sebelum pasukan SAR digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, operasi itu dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Amal serta penduduk kampung.
“Sepanjang lima hari operasi, pencarian dilaksanakan melalui laluan sungai menggunakan pelbagai aset termasuk bot penyelamat, kenderaan pacuan empat roda, Unit K9 dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM.
“Operasi turut berdepan cabaran arus sungai yang deras, cuaca tidak menentu serta bentuk muka bumi yang menyukarkan usaha pencarian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, mangsa ditemukan kira-kira jam 1 tengah hari di tepi sungai, sekitar tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut sebelum operasi SAR ditamatkan pada hari yang sama.
Operasi pada hari terakhir melibatkan seramai 72 anggota dan sukarelawan daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM, APM, Jabatan Amal serta orang awam dengan sokongan pelbagai aset darat dan air.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat, sukarelawan dan penduduk kampung atas kerjasama, komitmen serta pengorbanan sepanjang operasi dijalankan.
“Salam takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberi ketabahan menghadapi ujian tersebut,”katanya.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti di sungai atau kawasan perairan, terutama ketika musim hujan atau apabila keadaan arus sungai berbahaya, selain segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
IMedikel TV






