Home Hiburan ELLIZA RAZAK KONGSI BERITA SEDIH PEMERGIAN LYDIA IBTISAM

ELLIZA RAZAK KONGSI BERITA SEDIH PEMERGIAN LYDIA IBTISAM

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Elliza Razak, 42, memohon doa buat sahabatnya, Allahyarham Lydia Ibtisam Abdul Wahab, 46, yang meninggal dunia, hari ini.

Elliza menerusi hantaran dimuatnaik di Instagram Story (IGs) melahirkan rasa sedih dengan berita pemergian selamanya Lydia ke sisi Yang Maha Esa ketika menerima rawatan penyakit autoimun dihidapinya.

“Lydia!!!!! Al-Fatihah.. sahabat.. Nur Lydia Ibtisam Abdul Wahab. Mohon hadiahkan beliau doa yang indah-indah,” tulisnya pada hantaran berkenaan berserta emoji menangis.

Sementara itu, Elliza ketika dihubungi Harian Metro memaklumkan dia mendapat berita sedih pemergian sahabatnya daripada suami arwah, Ezam Merican.

“Tadi, suami dia (Lydia) mesej saya pada jam 4.17 petang memaklumkan isterinya disahkan sudah tiada (meninggal dunia) sekitar jam 4 petang tadi.

“Buat masa ini, saya ada maklumat itu sahaja,” katanya ringkas menerusi kiriman mesej di WhatsApp.

Sebelum itu, Elliza menerusi kemas kini di IGs memaklumkan dia akan berkongsi maklumat mengenai Lydia di akaun media sosialnya apabila diizinkan oleh suami sahabatnya.

Sementara itu, jenazah Allahyarham Lydia dijangka akan dibawa ke Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak, Pulau Pinang bagi urusan pengebumian.

Terdahulu, Ezam memohon doa orang ramai buat isterinya yang berada dalam keadaan kritikal di sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Menurut Ezam, isterinya berada dalam kritikal kerana menghidap penyakit autoimun yang sudah menyerang buah pinggang termasuk ada virus dalam perut, paru-paru dan darah.

Arwah mencipta nama menerusi beberapa drama popular pada akhir 1990-an dan awal 2000-an.

Antara karya yang melonjakkan namanya ialah drama bersiri Impian Ilyana, selain sitkom Dunia Anita yang menyaksikan Allahyarham Lydia membawa watak Zaitun, iaitu sahabat baik Anita lakonan Siti Fazurina.

Allahyarham Lydia turut membintangi drama Realiti sebagai Dayang, teman wanita kepada Amir yang dilakonkan Zizan Nin, selain drama Natasha.

Beliau turut memiliki bakat nyanyian apabila pernah menyampaikan lagu tema drama Impian Ilyana, selain lagu Pilihlah Aku, iaitu lagu tema sitkom Dunia Anita.

Allahyarhamah berkahwin dengan Ezam pada 2008 dan dikurniakan dua cahaya mata.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here