KUALA LUMPUR: Selepas melalui episod kontroversi yang menjejaskan perjalanan kerjayanya, pelakon Azar Azmi tidak pernah menyangka masih diberi ruang untuk kembali mengukir nama dalam dunia lakonan.
Memetik laporan Berita Harian, Azar atau nama sebenarnya Azar Ameerah Azmi, 37, berkata setiap peluang yang diterimanya ketika ini disyukuri sepenuh hati dan menganggap ia sebagai rezeki yang hadir berkat anaknya.
“Sejujurnya saya tidak sangka masih ada peluang. Selepas apa yang berlaku sebelum ini, saya fikir mungkin orang sudah tidak mahu menerima saya lagi.
“Alhamdulillah, rezeki datang satu demi satu. Saya percaya apa yang saya kecapi hari ini adalah rezeki anak. Saya hanya menumpang rezeki mereka,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Bulan Henti Bicara di Bizmilla Putrajaya, di sini, kelmarin.
Mengulas kemunculannya semula di set penggambaran, Azar mengakui mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri selepas sekian lama meninggalkan dunia lakonan.
Bagaimanapun, katanya, sokongan pengarah, kru produksi dan pengurus banyak membantu mengembalikan keyakinannya untuk memikul semula tanggungjawab sebagai pelakon.
“Pada awalnya memang rasa janggal sebab sudah lama tidak berlakon. Tetapi Alhamdulillah, semua di set banyak membantu, daripada pengarah, pembantu pengarah hinggalah kru produksi.
“Pengurus saya juga banyak memberi nasihat, terutama mengenai persediaan sebelum masuk ke set. Dia selalu mengingatkan saya supaya bertenang dan membuat persiapan rapi kerana itu akan melancarkan segala urusan,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






