Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 640,000 batang rokok putih seludup bernilai RM577,280 dalam serbuan di sebuah bangsal di Kampung Kubang Bulat, Gunong, Bachok, 29 Jun lalu.
Pengarah Kastam Kelantan, Mohd Hisham Mohd Nor berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang kira-kira jam 10.45 malam itu hasil risikan dan operasi yang dijalankan.
“Pemeriksaan di lokasi menemukan sebanyak 64 peti yang mengandungi 640,000 batang rokok putih dipercayai diseludup dan dijadikan stok simpanan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Nilai rampasan rokok dianggarkan RM128,000, manakala jumlah duti dan cukai yang terbabit ialah RM449,280.
“Ini menjadikan keseluruhan nilai rampasan termasuk duti dan cukai berjumlah RM577,280,” katanya pada sidang media di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Kastam Rantau Panjang, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket menggunakan sebuah bangsal yang tidak bernombor sebagai lokasi penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan kepada pelanggan.
“Rokok itu dipercayai dibawa masuk melalui laluan laut sebelum disimpan sementara di bangsal berkenaan untuk pasaran tempatan,”katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000, mengikut mana yang lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dab tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,”katanya.
IMedikel TV






