KUALA LUMPUR: Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal sekali lagi mencuri perhatian selepas membantu La Roja menewaskan Argentina 1-0 pada final Piala Dunia di Stadium New York New Jersey.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, namun, bukan sahaja aksinya di atas padang menjadi sorotan, malah tindakan pemain berusia 19 tahun itu selepas wisel penamat turut menarik perhatian peminat bola sepak seluruh dunia.
Ketika tumpuan media antarabangsa lebih terarah kepada insiden kekecohan yang berlaku membabitkan kedua-dua pasukan selepas perlawanan, satu rakaman video memaparkan Yamal melutut sambil menadah tangan dalam suasana penuh kesyukuran turut menarik perhatian ramai.
Tindakan pemain sayap Barcelona itu yang memilih untuk mengambil masa berdoa selepas kejayaan bersejarah Sepanyol nyata mendapat pujian ramai pengguna media sosial.
Salah seorang pengguna Threads, bzlnnalyaa, berkongsi penghargaan terhadap sikap tenang Yamal ketika suasana di sekelilingnya dipenuhi emosi tegang.
“Respect kepada Lamine Yamal. Orang lain huru-hara bergaduh di belakangnya, dia pula berlutut sambil berdoa. Di sebalik kekecohan, dia memilih ketenangan,” tulisnya.
Hantaran itu turut menerima pelbagai reaksi positif daripada pengguna lain yang memuji kematangan pemain muda berkenaan.
“Kalau Haaland bermeditasi untuk tenang, Lamine Yamal memilih berdoa untuk tenang dan menang. Love them both!” tulis fillahsaidin.-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






