Home Buletin Semasa PROJEK JALINAN KASIH SEDIAKAN MAKANAN PERCUMA SETIAP JUMAAT SEJAK 15 TAHUN LALU

PROJEK JALINAN KASIH SEDIAKAN MAKANAN PERCUMA SETIAP JUMAAT SEJAK 15 TAHUN LALU

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Bermula dengan hanya 20 pek makanan pada tahun pertama penganjurannya, Projek Jalinan Kasih kini terus mengukuhkan peranannya dalam membantu golongan memerlukan apabila mengagihkan sehingga 200 pek makanan dan minuman percuma setiap minggu.

Selama 15 tahun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu tidak pernah jemu meneruskan aktiviti kebajikan dengan menyediakan makanan percuma setiap pagi Jumaat di Hentian Bas Pokok Buluh, di sini.

Diterajui pengasasnya, Noordeyana Mohd. Rashdi, 43, bersama kira-kira 20 ahli terdiri daripada wanita pelbagai latar belakang kerjaya, Projek Jalinan Kasih menjadi platform untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat tanpa mengira kaum, agama mahupun status.

Noordeyana berkata, sejak ditubuhkan, NGO itu memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyediaan makanan percuma setiap Jumaat sebagai usaha meringankan beban golongan yang memerlukan.

“Pada peringkat awal kami hanya mampu menyediakan kira-kira 20 pek makanan. Alhamdulillah, kini jumlah itu meningkat kepada antara 150 hingga 200 pek setiap minggu dan kami berharap dapat menyediakan lebih banyak lagi pada masa akan datang.

“Agihan bermula sekitar jam 9.30 pagi dengan pelbagai menu seperti nasi lemak, mi goreng, mihun goreng, kuih-muih, roti dan minuman yang disediakan mengikut kemampuan serta sumbangan diterima pada hari berkenaan.

“Kalau ada lebihan makanan, kami akan menghantarnya kepada pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP), masjid serta rumah anak yatim dan asnaf di sekitar daerah ini,” katanya, di sini, hari ini.

Menurutnya, kumpulan itu dianggotai kakitangan kerajaan, pengarah jabatan, pesara, usahawan serta suri rumah yang bersama-sama menyumbang sama ada dalam bentuk kewangan, penyediaan makanan atau tenaga ketika proses agihan.

Noordeyana berkata, ahli yang tidak berkesempatan menyediakan makanan tetap memainkan peranan dengan membantu mengagihkan makanan kepada penerima.

Sementara itu, pesara kerajaan, Zainab Latun, 68, berkata beliau menyertai Projek Jalinan Kasih sejak lima tahun lalu dan tidak pernah melepaskan peluang untuk bersama-sama menyediakan serta mengagihkan makanan setiap Jumaat.

“Rezeki pencen yang saya terima setiap bulan saya kongsikan dengan mereka yang memerlukan. Ini cara saya bersedekah dan mencari bekalan untuk akhirat.

“Saya berharap lebih ramai wanita tampil bersama Projek Jalinan Kasih supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu,” katanya.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here