NEW JERSEY: Insiden lucu membabitkan semburan buih milik pengadil menjadi antara detik paling mencuri perhatian dalam aksi final Piala Dunia antara Sepanyol dan Argentina.
Memetik laporan Harian Metro, pengadil perlawanan, Slavko Vincic, ketika cuba menandakan lokasi sepakan percuma Sepanyol pada separuh masa kedua, berdepan situasi tidak dijangka apabila tin semburan yang disimpan di poket belakangnya tiba-tiba meletup.
Buih putih itu terpancut keluar dan terkena pemain tengah Sepanyol, Alex Baena, yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Baena bagaimanapun sempat mengelak sebahagian besar semburan tersebut, namun tetap kelihatan terkejut sebelum cuba menepis buih yang terkena di sekelilingnya.
Insiden berkenaan turut menarik perhatian rakan sepasukannya, Mikel Oyarzabal, sebelum menjadi bahan jenaka penyokong di media sosial.
Salah seorang pengguna media sosial menulis: “Baena menerima rawatan buih daripada pengadil,” manakala seorang lagi menulis, “salah satu detik menarik dalam perlawanan.”
Selain itu salah seorang lagi menulis: “Pengadil secara tidak sengaja menjadikan Baena sebagai benteng sepakan percuma.”
Perlawanan bermula lewat enam minit sebelum kedua-dua pasukan beraksi dalam final yang berakhir tanpa jaringan selepas 90 minit.
Sepanyol akhirnya memastikan kejuaraan menjadi milik mereka apabila Ferran Torres menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan untuk menewaskan Argentina.-HMetro Online-
IMedikel TV






