Home Hiburan NAMA XPDC ADA BERKAT, RAMAI MAHU TUMPANG JENAMA – ZUAR

NAMA XPDC ADA BERKAT, RAMAI MAHU TUMPANG JENAMA – ZUAR

13
0

KUALA LUMPUR: Pemain bass XPDC Kita Peng Yu (KPY), Zuar menyifatkan nama pengasas kumpulan rock XPDC, Allahyarham JS Kevin memiliki nilai tersendiri sehingga jenama kumpulan itu terus bertahan sejak era 1990-an.

Memetik laporan Harian Metro, Zuar atau nama sebenarnya Azuar Md Tasi, 60, berkata, kekuatan nama XPDC menyebabkan ada pihak yang mahu menggunakan atau menumpang jenama kumpulan berkenaan, namun perkara itu tidak menjejaskan perjalanan mereka.

“Nama Allahyarham JS Kevin ini ‘berkat’. Sampai orang boleh tumpang nama, boleh menyamar. Itu menunjukkan nama dia berkat.

“Berkat ini bertahan lama, maknanya jenama XPDC ini ada berkat, sebab itu ramai yang hendak tumpang nama XPDC. Tak mengapalah.

“Saya pun hairan, banyak band ‘otai’ sudah tak ada, tapi kami masih lagi boleh cari makan. Daripada zaman bujang sampai sudah ada cucu, kami masih bertahan, Alhamdulillah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Gegar Borneo 2026 oleh XPDC KPY, di sini, semalam.

Turut hadir Pengurus XPDC KPY, Yazid Selamat serta wakil penganjur Konsert Gegar Borneo 2026 daripada SMH Global, Aalan Ahmad dan Syed Hafizudin Tengku Mad.

Sebagai antara anggota asal penubuhan XPDC, Zuar berkata, beliau tidak mahu memikirkan kewujudan kumpulan lain yang menggunakan nama sama kerana percaya peminat mampu menilai.

“Semua hendak jadi XPDC, semua pening. Biarkan sahaja sebab setakat ini, mereka yang menumpang nama tidak menjejaskan.

“Kami tak hairan dan tak pedulikan mereka. Kami buat hal kami, mereka buat hal mereka,” katanya.

Menurutnya, peminat lama genre rock tanah air memahami sejarah kumpulan itu, manakala peminat baharu akan mendapat penjelasan daripada mereka yang mengikuti perjalanan XPDC sejak awal.

“Bagi saya, perkara ini orang lama sudah tahu. Cuma budak-budak baru sahaja yang mungkin tidak tahu. Orang lama akan tolong jelaskan kepada mereka. Kami tak kisah apa pun,” katanya.

XPDC KPY kini dianggotai Zuar bersama Amy (dram), Jeff (gitar) dan Ary sebagai vokalis yang menggalas tanggungjawab menggantikan tempat Allahyarham Mael.

Dalam perkembangan lain, XPDC KPY bakal mengadakan Konsert Gegar Borneo 2026 di Padang Pekan Kunak, Sabah pada 8 Ogos depan sebagai sebahagian daripada inisiatif menyokong kempen Visit Malaysia 2026.

Konsert berkenaan dijangka menghimpunkan peminat dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei, sekali gus merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi setempat.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here