Kuala Lumpur: Penyanyi Aina Abdul menepis dakwaan faktor tiket tidak laku menyebabkan dia terpaksa beralih ke kafe kecil bagi mementaskan ‘showcase’.
Memetik laporan Harian Metro, Aina berkata, persembahan istimewa iaitu Tak Berjauhan Lagi: Cafe Series bakal berlangsung dalam suasana intim dan mendekatkan dirinya dengan peminat.
“Saya jelajah ke kafe untuk mendekatkan lagi diri dengan peminat. Bukan sebab tidak mampu jual tiket untuk konsert skala besar.
“Insya-Allah, impian untuk menganjurkan konsert ada, cuma hasrat saya kali ini mahukan sebuah persembahan yang lebih intim.
“Saya mahu mempromosikan lagu baharu termasuk Sadis dan Berjauh-an. Genre baru yang saya pilih ini memang memerlukan komitmen untuk saya ke lapangan bagi mengenali peminat baharu saya,” katanya ditemui pada acara AJL 40: First Look di ibu negara, baru-baru ini.
Destinasi pertama yang bakal dikunjungi penyanyi berusia 33 tahun ini adalah di Fifty Seven Coffee, Bangi pada Ahad ini.
Aina berkata, buat masa ini dia hanya sempat berkunjung ke satu lokasi berikutan perlu memberi tumpuan kepada persiapan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-40.
“Tengok keadaan, mungkin selepas AJL 40, akan ada lagi siri jelajah. Kalau boleh memang saya hendak berkunjung ke banyak lokasi lain untuk berjumpa peminat sambil mempromosikan lagu baru,” katanya.-HMetro Online-
IMedikel TV






