Home Buletin Semasa IMPHB, LKTN TEROKA KERJASAMA HASILKAN PRODUK PENJAGAAN DIRI BERASASKAN KENAF

IMPHB, LKTN TEROKA KERJASAMA HASILKAN PRODUK PENJAGAAN DIRI BERASASKAN KENAF

21
0

Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: IMedikel Pharma Holding Berhad (IMPHB) meneroka peluang kerjasama strategik dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), termasuk dalam penghasilan produk penjagaan diri berasaskan kenaf serta pembangunan usahawan melalui pengeluaran produk Original Equipment Manufacturer (OEM).

Presiden IMPHB, Yusmat Mamat, berkata kunjungan hormat ke Ibu Pejabat LKTN bertujuan membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama yang boleh dilaksanakan pada masa hadapan.

Menurut beliau, antara cadangan yang dibincangkan ialah penghasilan produk penjagaan diri menggunakan bahan berasaskan kenaf seperti ekstrak daun atau buah kenaf.

“Kita melihat ada peluang kerjasama dengan LKTN dalam penghasilan produk OEM, khususnya produk penjagaan diri yang menggunakan bahan berasaskan kenaf.

“Selain itu, sekiranya terdapat usahawan di bawah LKTN yang berminat menghasilkan produk, LKTN boleh bertindak sebagai pemudah cara kepada IMedikel bagi merealisasikan usaha tersebut,” katanya.

Delegasi IMPHB diketuai Yusmat, turut disertai Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Korporat, Mohd Firdaus Mohamed Yusoff, Ketua Pegawai Kewangan, Syahrul Azlan Mahmood, serta Pengurus Divisyen Peranti Perubatan, Muhammad Arsyad Rohim.

Sementara itu, Ketua Pengarah LKTN, Wan Baharuddin Wan Ismail berkata, kunjungan hormat itu menjadi platform bagi kedua-dua pihak mengadakan sesi suai kenal serta perbincangan dua hala untuk meneroka peluang kerjasama strategik.

Beliau berkata, fokus utama perbincangan ialah aspek penghasilan dan penjenamaan produk secara OEM bersama usahawan di bawah naungan LKTN.

“Melalui sesi ini, kedua-dua pihak saling bertukar pandangan bagi membuka ruang kolaborasi yang saling menguntungkan dan membina.

“Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing, sekali gus membantu menjana peluang pekerjaan dan sumber pendapatan baharu kepada masyarakat setempat,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama strategik itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here