Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika berada di tiang nombor lima perairan Jambatan Pulau Pinang, pagi tadi.
Mangsa, Abdul Ghani Mohsin,39 ketika itu dikatakan sedang memancing di kawasan berkenaan sebelum tergelincir.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihak Agensi Pertahan Awam (APM) melaporkan kejadian itu kepada pihaknya jam 11.16 pagi bagi bantuan mencari dan menyelamat (SAR)
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Bagan Jermal bergerak ke lokasi untuk melaksanakan operasi berkenaan.
“Operasi SAR dijalankan dengan kekuatan logistik satu unit bot dari JBPM diketuai Komander Operasi PPDA Bagan Jermal bersama lima anggota.
“Pencarian dilakukan di sekitar lokasi mangsa dipercayai telah jatuh dengan kaedah pencarian secara ‘Water Surface Searching’ (pencarian di dasar).
“Kerja-kerja pencarian turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera dengan satu unit bot bersama tiga anggota,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jelasnya, pihaknya turut membuka Pos Kawalan Bomba di Jabatan Laut berhampiran lokasi kejadian.
Operasi pencarian masih diteruskan dan sehingga kini mangsa masih belum ditemui.
IMedikel TV






