MADRID: Sorakan kegembiraan dan bunyi hon kenderaan bergema di seluruh Madrid apabila penyokong Sepanyol meraikan kejayaan pasukan kebangsaan mereka menewaskan Perancis 2-0 untuk mara ke final Piala Dunia 2026.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, ribuan penyokong membanjiri zon rasmi penyokong di Dataran Colon serta jalan-jalan utama di tengah bandar dengan memakai jersi dan mengibarkan bendera Sepanyol.
“Saya sangat gembira dan amat bangga dengan pasukan ini. Ramai yang tidak memberikan peluang kepada kami, tetapi kami berjaya menewaskan Perancis dan kami juga akan menewaskan sesiapa sahaja di final nanti,” kata Jaime Sanchez, 19.
Sepanyol menempah tiket ke final hasil sepakan penalti Mikel Oyarzabal dan jaringan Pedro Porro untuk menewaskan skuad kendalian Didier Deschamps yang sebelum itu diramal memiliki kelebihan menerusi ketajaman Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele.
Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Luis de la Fuente meneruskan rekod cemerlang ke atas Perancis selepas menyingkirkan lawan sama pada Euro 2024 dan Liga Negara-Negara UEFA tahun lalu.
Seorang lagi penyokong, Jaime Lopez, 19, menyifatkan kekuatan sebenar La Roja terletak pada semangat berpasukan.
“Secara keseluruhannya mereka adalah sebuah pasukan yang hebat. Mereka mungkin tidak mempunyai terlalu ramai bintang besar, tetapi mereka tahu bagaimana untuk bermain sebagai satu pasukan,” katanya.
Turut mencuri tumpuan ialah Lamine Yamal apabila pemain muda itu memenangi sepakan penalti yang membuka laluan kemenangan Sepanyol.
Kini, Sepanyol hanya selangkah lagi untuk mengulangi kejayaan muncul juara dunia buat kali kedua selepas menjuarai Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






