Home Buletin Semasa RASMI: BN MENANG BESAR 48 KERUSI DUN JOHOR, KEKAL TADBIR NEGERI

RASMI: BN MENANG BESAR 48 KERUSI DUN JOHOR, KEKAL TADBIR NEGERI

37
0

Oleh: Wartawan IMedikel TV 

ISKANDAR PUTERI – Barisan Nasional (BN) secara rasmi menang dengan majoriti besar iaitu 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16.

Pengumuman rasmi itu dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun dalam sidang media SPR di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, awal pagi ini 

“Sehingga 12.50 malam tadi, keputusan penuh PRN Johor Ke-16 yang telah dijalankan dengan bebas, adil dan telus.

“BN memperolehi 48 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) lapan kerusi,”katanya.

Menurut Ramlan, pada PRN Johor Ke-16 ini, seramai 1.87 juta atau 68.73 peratus telah keluar mengundi.

Katanya jumlah tersebut meliputi jumlah pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa yang telah mengundi.

“Secara keseluruhannya, SPR berpuas hati dengan proses pengundian yang berlangsung pada 11 Julai 2026 dan pengundi-pengundi berdaftar telah dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka. 

“Pada PRN Johor 16 juga tidak berlaku sebarang perkara-perkara yang tidak diingini yang boleh menjejaskan proses pilihan raya.

“Dalam melaksanakan urusan pilihan raya, SPR sentiasa mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan,”katanya.

Berdasarkan keputusan penuh itu, Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak memenangi sebarang kerusi ditandingi mereka.

Enam calon bebas juga gagal memperoleh sebarang kemenangan pada PRN Johor ke 16.

Keputusan itu turut menyaksikan BN berjaya merampas semula lapan kerusi PH termasuk Johor Jaya, Perling, Bukit Batu, Jementah dan Tangkak.

BN turut merampas kerusi PN iaitu Bukit Kepong, Endau dan Maharani.

Dalam perkembangan lain, SPR akan meneliti dengan lebih terperinci mengenai isu pengundi memuat naik gambar kertas undi yang sudah dipangkah di media-media sosial.

Ramlan berkata, pihaknya perlu memastikan terlebih dahulu sama ada tindakan itu dilakukan pengundi biasa ketika sedang mengundi dalam bilik saluran mengundi atau pun pengundi pos.

“Kita ada melihat beberapa media sosial dan beberapa pihak ada yang pos gambar itu (kertas undi sudah dipangkah).

“Bagaimanapun, kita tidak dapat memastikan sama ada gambar-gambar itu memang diambil dalam bilik ketika undian biasa atau kita berpendapat mungkin ia dilakukan oleh pihak-pihak yang mengundi pos.

“Bagaimanapun, perkara ini kita akan lihat dengan lebih terperinci bagi memastikan pada masa akan datang terutamanya pada pengundi biasa, ia tidak berlaku lagi,” katanya ketika ditanya apakah tindakan SPR ke atas pengundi yang memuat naik kertas undi yang sudah dipangkah untuk tontonan umum.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here