Home Sukan DUA GOL BELLINGHAM HANCURKAN NORWAY

DUA GOL BELLINGHAM HANCURKAN NORWAY

29
0

MIAMI: Jude Bellingham meledak dua gol, termasuk jaringan kemenangan pada masa tambahan, ketika England menewaskan Norway 2-1 untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia buat kali keempat dalam sejarah.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Norway terlebih dahulu mengejutkan England menerusi rembatan menarik Andreas Schjelderup pada minit ke-36 sebelum Bellingham menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat.

Tiga minit selepas masa tambahan bermula, Morgan Rogers melepaskan rembatan jarak jauh yang hanya mampu ditepis penjaga gol Norway, Orjan Nyland, sebelum Bellingham pantas menyambar bola muntah untuk memastikan kemenangan England di hadapan 64,478 penonton di Stadium Miami.

England akan berdepan sama ada Argentina atau Switzerland di Atlanta, Rabu ini, ketika mereka memburu tempat ke final buat kali keempat dalam lima kejohanan utama terakhir serta mengimpikan kejuaraan Piala Dunia pertama sejak tahun 1966.

Walaupun tersingkir, Norway boleh berbangga dengan pencapaian mereka selepas berjaya mara ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 28 tahun. 

“Ia memang pahit untuk diterima, tetapi perjalanan ini sangat luar biasa. 

“Kami perlu berbangga. Sudah lama kami tidak berada di pentas ini dan kini kami berjaya mencipta nama. Seluruh dunia bercakap mengenai kami,” kata kapten Norway, Martin Odegaard.

Perlawanan berlangsung berhati-hati pada babak pertama, namun Norway mula mengancam apabila Julian Ryerson melakukan hantaran lintang kepada Erling Haaland yang menanduk tepat ke arah Jordan Pickford pada minit ke-35.

Seminit kemudian, Patrick Berg merampas bola daripada Harry Kane sebelum menghantar kepada Schjelderup di sebelah kiri. Pemain sayap itu memperdayakan Ezri Konsa sebelum melepaskan rembatan deras yang menerjah gawang England.

Norway terus menguasai permainan dengan Alexander Sorloth dan Odegaard turut mencipta peluang, malah mereka hampir menggandakan kelebihan tetapi gagal memanfaatkan serangan balas.

Kegagalan itu dihukum pada masa kecederaan babak pertama apabila Bellingham mempamerkan aksi individu cemerlang hasil hantaran Anthony Gordon sebelum menyudahkan peluang untuk mengikat kedudukan 1-1.

England hampir mendahului apabila Kane menjaringkan gol, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan VAR mengesahkan dia berada dalam kedudukan ofsaid.

VAR sekali lagi memainkan peranan pada babak kedua apabila jaringan Torbjorn Heggem hasil sepakan penjuru dibatalkan selepas Haaland didapati menolak Elliot Anderson.

Norway terus mengasak dan hampir kembali di depan apabila tandukan David Moller Wolfe terkena palang, manakala England pula mencipta beberapa peluang menerusi Bukayo Saka tetapi gagal disudahkan.

Pada penghujung masa sebenar, Djed Spence hampir memanfaatkan kesilapan Nyland, namun kedudukan kekal 1-1 sehingga wisel penamat.

Selepas Bellingham menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan, VAR sekali lagi campur tangan apabila membatalkan sepakan penalti yang pada awalnya diberikan kepada England susulan kekasaran terhadap Spence.

Haaland, yang gagal menjaringkan gol buat kali pertama dalam 16 penampilan terakhir bersama Norway, dikeluarkan pada separuh masa pertama masa tambahan.

Norway terus melancarkan serangan sehingga tamat permainan, namun England bertahan dengan baik untuk menyamai pencapaian mara ke separuh akhir pada edisi 1966, 1990 dan 2018.

“Saya bersimpati dengan pemain-pemain, tetapi inilah sukan di tahap tertinggi, sama ada saat terbaik atau paling kejam.

“Kami bermain bola sepak yang hebat menentang pasukan yang sangat kuat, tetapi ia masih belum mencukupi,” kata pengendali Norway, Stale Solbakken. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here