Home Luar Negara 15 MAUT BOT PELANCONG TERBALIK DI VIETNAM

15 MAUT BOT PELANCONG TERBALIK DI VIETNAM

34
0

HANOI: Sebuah bot laju yang membawa pelancong dari India terbalik di perairan Pulau Phu Quoc, selatan Vietnam, pada Sabtu, mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang, lapor media rasmi.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, bot berkenaan yang membawa 36 penumpang dilaporkan terbalik kira-kira 400 meter dari Pulau May Rut Ngoai, menurut laman web VnExpress.

Operasi mencari dan menyelamat segera digerakkan dengan bantuan beberapa bot pelancong dan pasukan pengawal pantai yang berjaya menyelamatkan sebahagian mangsa dari air.

Akhbar Tuoi Tre yang memetik polis tempatan melaporkan seramai 21 mangsa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan kecemasan, dengan dua daripadanya dilaporkan kritikal.

Kesemua 15 mangsa yang maut adalah warga asing, menurut Tuoi Tre. 

Sementara itu, Kedutaan India di Vietnam mengesahkan bot yang terbalik itu membawa “beberapa pelancong India” namun memaklumkan identiti mangsa dan butiran lengkap kejadian masih dalam proses pengesahan. 

Pegawai wilayah Parti Komunis Vietnam, Nguyen Tien Hai berkata, pihak berkuasa masih mengesahkan jumlah sebenar mangsa yang terselamat, menurut laporan media rasmi.

Hai berkata, siasatan awal mendapati bot laju berkenaan dipercayai terbalik akibat dipukul angin kencang dan ombak besar.

Terletak di selatan pulau terbesar di Vietnam, Phu Quoc, Pulau May Rut Ngoai terkenal dengan keindahan air laut yang membiru, pantai berpasir putih dan terumbu karang untuk aktiviti selam skuba.

Pengunjung sering ke pulau kecil itu dengan menaiki bot laju dari Pulau Phu Quoc.

Phu Quoc mencatat pertumbuhan pesat sektor pelancongan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan lebih 1.8 juta pelancong asing mengunjungi pulau peranginan itu pada tahun lalu.

Bagaimanapun, kemalangan bot sering berlaku di Vietnam berikutan cuaca ekstrem, banjir berterusan dan penyelenggaraan yang tidak memuaskan sekali gus mengakibatkan beberapa tragedi.

Pada Julai tahun lalu, 39 orang maut apabila sebuah bot pelancong yang membawa beberapa keluarga di Teluk Ha Long, utara Vietnam terbalik selepas dipukul ribut secara tiba-tiba. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here