Home Hiburan TOMOK BERSYUKUR JADI TETAMU ALLAH PADA USIA MUDA

TOMOK BERSYUKUR JADI TETAMU ALLAH PADA USIA MUDA

29
0

KUALA LUMPUR: Penyanyi Tomok menyifatkan peluang menunaikan ibadat haji pada usia muda sebagai detik paling bermakna dalam hidup, apatah lagi dalam menunaikan rukun Islam kelima itu bersama isteri tercinta.

Memetik laporan Berita Harian, Tomok atau nama sebenar, Shah Indrawan Ismail, 42, berkata pengalaman menunaikan ibadat haji baru-baru ini, membuka matanya mengenai erti syukur, sabar dan reda apabila berdepan jutaan jemaah dari seluruh dunia dalam suasana yang penuh cabaran.

Akuinya, peluang itu hadir selepas tiga tahun membuat rayuan sebelum akhirnya terpilih menunaikan ibadat haji.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dipanggil menjadi tetamu Allah pada usia yang masih muda dan diberi kesihatan untuk menyempurnakan ibadat ini bersama isteri.

“Pengalaman itu sangat berharga dan Allah memudahkan segala urusan kami sepanjang 45 hari berada di Tanah Suci,” katanya kepada BH Online. 

Tomok berkata, sebelum berangkat ke Tanah Suci, dia membuat persiapan rapi termasuk menghadiri kelas haji serta mendapatkan bimbingan daripada pihak pengurusan bagi memastikan setiap ibadat dapat dilaksanakan dengan sempurna. 

Menurutnya, ilmu menjadi asas penting kerana ibadat haji tidak boleh dilaksanakan tanpa kefahaman yang jelas.

“Untuk memudahkan perjalanan ke sana, sudah pasti kita perlu ada ilmu. Kita tidak boleh pergi begitu sahaja.

“Alhamdulillah, kami mengikuti banyak kelas sebelum berlepas. Malah, syarikat penerbangan juga menyediakan inisiatif tertentu, selain setiap hari di sana diadakan perkongsian ilmu yang sangat membantu,” katanya.

Tomok turut membuat persediaan awal dengan menyimpan pelbagai doa dalam telefon pintar untuk dibaca ketika berada di lokasi yang mustajab berdoa.

“Saya memang membuat persediaan awal dengan menyimpan doa-doa khusus yang ingin dipanjatkan kepada Allah kerana ibadat haji hanya sekali seumur hidup.

“Di Arafah adalah tempat yang sangat mustajab untuk berdoa. Jadi, apa sahaja yang kita pohon, insya-Allah Allah akan permudahkan.

“Sejak di Malaysia lagi saya sudah sediakan doa untuk isteri, keluarga, diri sendiri dan rakan-rakan,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman paling menyentuh hati sepanjang berada di Tanah Suci, bekas vokalis New Boyz itu mengakui kagum melihat ketabahan jemaah warga emas yang gigih menyempurnakan ibadat walaupun berdepan cabaran fizikal.

“Saya sangat menghormati jemaah yang sudah berusia tetapi masih kuat melengkapkan semua rukun haji.

“Kita yang muda pun berasa penat, apatah lagi mereka. Selain ilmu, kekuatan fizikal juga penting untuk menunaikan ibadat haji. Semangat mereka benar-benar memberi inspirasi,” katanya.

Pengalaman bergelar tetamu Allah turut memberi kesan besar terhadap dirinya apabila Tomok memasang azam menjadi insan yang lebih baik selepas pulang ke tanah air.

“Kita manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun, apabila Allah menjemput kita menjadi tetamu-Nya dan diberi peluang merasai pengalaman indah di Tanah Suci, sudah tentu kita berazam untuk menjadi insan yang lebih baik.

“Pengalaman itu menjadi peringatan untuk terus menjaga solat, berbuat baik kepada orang sekeliling dan sentiasa memperbaiki diri. Insya-Allah, itulah yang akan saya usahakan.

“Bukanlah selepas pulang haji terus menjadi terlalu warak, tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha menjadi manusia yang tidak menyusahkan orang lain dan sentiasa berbuat baik. Bagi saya, itu sudah cukup besar maknanya,” katanya.

Tomok turut menggalakkan golongan muda merancang lebih awal untuk menunaikan haji dengan mendaftar dan membuat simpanan di Tabung Haji (TH) ketika masih sihat serta bertenaga.

“Saya ingin menasihatkan generasi muda, jika berkemampuan, daftarlah haji seawal mungkin dan mulakan simpanan di Tabung Haji.

“Pergilah ketika usia masih muda kerana pengalaman itu lebih bermakna, selain tenaga dan kudrat yang ada dapat membantu memudahkan perjalanan ibadah,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here