Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan memilih Pulau Teluk Renjuna sebagai lokasi pertama pelaksanaan Fire Point di negeri ini bagi memperkukuh tindak balas awal terhadap kebakaran dan operasi menyelamat di kawasan pulau.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, kemudahan itu diwujudkan berikutan faktor lokasi pulau yang menyukarkan pasukan bomba tiba dalam tempoh masa ditetapkan sekiranya berlaku kecemasan.
“JBPM akan berusaha mewujudkan lebih banyak Fire Point dari semasa ke semasa sekiranya mempunyai peruntukan yang mencukupi.
“Program ini adalah kali pertama Fire Point diwujudkan di Kelantan. Kawasan pulau dan kawasan pesisir mempunyai cabaran kerana tindak balas bomba sukar dicapai dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Kempen Keselamatan Kebakaran dan Fire Point Bomba Komuniti di Pulau Teluk Renjuna, di sini, hari ini.
Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah.
Farhan Sufyan berkata, selain penubuhan Bomba Komuniti, pelbagai program turut dilaksanakan termasuk Program SURI yang memberi tumpuan kepada suri rumah bagi meningkatkan pengetahuan mencegah dan memadam kebakaran, khususnya kebakaran dapur.
Katanya, JBPM turut melaksanakan Program Satu Rumah Satu Pemadam Api (RAPI) dengan menyediakan alat pemadam api di setiap rumah serta melatih komuniti menggunakan peralatan berkenaan.
Selain itu, beliau berkata, program Jom Berenang yang diperkenalkan tahun ini menyasarkan penyertaan 300 kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah bagi memupuk minat terhadap aktiviti berenang.

“Inisiatif ini diperkenalkan susulan statistik menunjukkan sebanyak 92 kes lemas direkodkan sepanjang tempoh 2023 hingga 2026, dengan 78 peratus daripada mangsa terdiri daripada kanak-kanak.
“Program ini bukan sahaja dilaksanakan di Kelantan, malah di seluruh negara dengan sasaran seramai 5,000 peserta dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Farhan Sufyan berkata, Fire Point di Pulau Teluk Renjuna dilengkapi pelbagai peralatan asas pemadaman kebakaran seperti pam, hos dan dividing breeching, selain peralatan menyelamat termasuk jaket keselamatan, pelampung dan throw bag yang bersesuaian dengan keadaan kawasan berkenaan.
Katanya, kemudahan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Pulau Teluk Renjuna, malah berfungsi sebagai pasukan first responder kepada kawasan sekitar termasuk Seri Tanjung dan penempatan berhampiran.
Beliau berkata, seramai kira-kira 3,000 penduduk membabitkan 630 keluarga dijangka menerima manfaat daripada kemudahan tersebut.
Mengulas mengenai Bomba Komuniti, Farhan Sufyan berkata, semua anggota komuniti yang terlibat sudah mengikuti latihan selama seminggu sebagai pendedahan awal sebelum latihan susulan dilaksanakan secara berkala.
“Latihan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kemahiran anggota sentiasa dipertingkatkan dan peralatan berada dalam keadaan baik serta boleh digunakan apabila diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, JBPM Kelantan sudah menubuhkan 12 pasukan Bomba Komuniti di seluruh negeri setakat tahun ini, berbanding sasaran sebanyak 20 pasukan setiap tahun.
Menurutnya, walaupun tiada kejadian kebakaran dilaporkan di Pulau Teluk Renjuna dalam tempoh terdekat, langkah pencegahan dan tindakan awal perlu terus diperkukuhkan.
“Pasukan Bomba Komuniti bukan sahaja membantu melaksanakan tugas-tugas bomba, malah menjadi mata dan telinga jabatan dalam menyampaikan mesej keselamatan kebakaran kepada masyarakat serta mengingatkan komuniti mengenai aspek pencegahan,” katanya.
IMedikel TV






