Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Polis mengambil tindakan menggantung sementara tugas seorang pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) di Kuala Krai susulan dakwaan salah laku membabitkan pegawai berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan sudah dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada individu berkaitan bagi memastikan perkara itu dapat disiasat secara telus dan menyeluruh.
“Kita dah ambil tindakan supaya kita gantung sementara penugasan beliau sehingga siasatan dapat dijalankan dengan baik dan sempurna.
“Kita sudah mengambil tindakan dengan melakukan siasatan dan beberapa tindakan untuk mengambil kenyataan mereka yang berkaitan telah pun dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Pangkalan Lubok Gong, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Menurutnya, pihak polis turut berusaha mendapatkan keterangan daripada pihak pengadu yang ketika ini berada di Negeri Sembilan.
“Dan pihak pengadu juga seperti mana yang semua sedih maklum anak menantu beliau itu pun bukan berasal daripada Kelantan, kini berada di Negeri Sembilan dan kita sedang berusaha untuk mendapatkan kenyataan daripada beliau,” katanya.
Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melakukan perbuatan bertentangan dengan undang-undang.
“Saya ingin tegaskan, saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya.
Baru-baru ini tular video dakwaan pegawai terbabit melakukan salah laku bersama seorang wanita sehingga menimbulkan kemarahan penduduk kampung.
Video berdurasi 34 saat tersebut dimuat naik oleh individu di media sosial.
IMedikel TV






