NANNING: Ketika China giat menangani bencana banjir besar dan hujan lebat yang melanda beberapa kawasan, penduduk serta pihak berkuasa di wilayah Guangxi berdepan situasi luar biasa apabila ratusan ekor ular dikesan berkeliaran selepas melarikan diri dari ladang pembiakan komersial, lapor NDTV.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian metro, menurut laporan Bloomberg yang memetik penyiar rasmi CCTV, ratusan ekor ular itu dipercayai terlepas ketika kawasan berkenaan dilanda banjir besar sekali gus mendorong pihak berkuasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi mengawal keadaan.
Berdasarkan laporan Global Times serta beberapa media tempatan China yang lain, sekurang-kurangnya 900 ekor ular dilaporkan masih bebas di kawasan awam.
Dalam kejadian berkaitan, seorang wanita dilaporkan meninggal dunia selepas dipatuk ular di Hengzhou, sebuah bandar di wilayah Guangxi selepas gagal mendapatkan rawatan segera berikutan gangguan laluan akibat banjir dan sekatan jalan raya.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan beberapa ekor ular berenang di celah air banjir manakala penduduk dilihat terpaksa meredah air setinggi paras paha bagi menangkap reptilia berkenaan yang cuba meloloskan diri.
Menurut Global Times, ular yang terlepas dari ladang pembiakan itu termasuk beberapa spesies berbisa seperti ular tedung.
Beberapa pasukan khas sudah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menangkap ular yang terlepas manakala pihak berkuasa turut menyediakan klinik perubatan sementara bagi memastikan mangsa patukan ular menerima rawatan segera.
Guangxi adalah pusat pembiakan ular komersial terbesar di China dengan kira-kira 30 juta ekor reptilia itu dibiakkan untuk memenuhi permintaan perubatan tradisional, produk kulit serta bekalan daging.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat wilayah pada Rabu, pihak berkuasa mengesahkan bahawa “ular dikesan muncul di beberapa kawasan berair” selepas beberapa kampung di Hengzhou ditenggelami banjir.
Wilayah berkenaan dilanda ribut kuat yang mengakibatkan sebuah empangan pecah menyebabkan aliran air deras melimpah ke kawasan pekan dan bandar berhampiran
Seramai enam orang dilaporkan maut manakala kira-kira 130,000 penduduk dipindahkan ke lokasi selamat. Dalam operasi menyelamat, lebih 8,000 anggota penyelamat bersama kira-kira 5,700 buah bot digerakkan, menurut pejabat propaganda wilayah Guangxi.
Banjir berkenaan turut menenggelamkan ladang babi, menjejaskan aktiviti pengeluaran kayu balak serta menyebabkan kerosakan pada ladang bunga matahari.
Selain itu, sekurang-kurangnya 100 haiwan termasuk alpaka, babi mini dan kuda belang dilaporkan turut terlepas dari sebuah zoo di Guangxi selepas pagar kurungan rosak akibat dilanda banjir.-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






