Home Sukan CAFU GESA BRAZIL MULA FOKUS MISI 2030

CAFU GESA BRAZIL MULA FOKUS MISI 2030

42
0

NEW YORK: Legenda Brazil, Cafu memulakan proses bedah siasat kegagalan negaranya di Piala Dunia dengan menggesa badan bola sepak negara itu segera memulakan persiapan menghadapi edisi 2030.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Brazil tersingkir di pusingan 16 terbaik selepas dikejutkan Norway, antara keputusan paling mengejutkan dalam kejohanan itu, sekali gus mencetuskan kemarahan besar penyokong di negara berkenaan.

Namun Cafu yang beraksi 142 kali untuk Brazil dan menjulang trofi Piala Dunia pada 1994 serta 2002, meminta semua pihak bertenang walaupun kecewa dengan kegagalan awal pasukan itu.

“Malangnya keputusan yang kami harapkan tidak berlaku dalam Piala Dunia kali ini.

“Brazil sentiasa menjadi pasukan yang dihormati. Kami pernah menjadi juara dunia, tetapi kami tidak beraksi dengan baik dalam Piala Dunia kali ini. Itu adalah fakta. 

“Pasukan kebangsaan Brazil beraksi lebih teruk daripada apa yang kami harapkan. 

“Tetapi saya sentiasa berkata, setiap kitaran ada permulaan dan pengakhiran. Kitaran untuk pasukan Brazil 2030 bermula sekarang,” kata Cafu kepada Daily Mail ketika menghadiri acara LEGO di New York, kurang 24 jam selepas wisel penamat perlawanan.

Ditanya apakah langkah yang perlu dilakukan Brazil bagi memastikan kitaran baharu itu bermula dengan baik selepas pasukan itu gagal melepasi suku akhir sejak Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan, ketika Cafu sendiri berada dalam skuad, beliau berkata:

“Kita perlu melihat apa yang dilakukan dengan betul dalam Piala Dunia ini dan memperbaiki apa yang tidak menjadi.

“Ia bukan sesuatu yang boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana satu perlawanan tidak sepatutnya menyebabkan kita membuang empat tahun kerja.”

Kekalahan kepada Norway yang diketuai Erling Haaland itu turut menandakan berakhirnya karier antarabangsa Neymar selepas pemain itu kembali mengejutkan ramai apabila dipanggil menyertai skuad Brazil untuk Piala Dunia 2026.

Penyerang Santos itu berada di tempat kedua dalam senarai pemain dengan penampilan terbanyak untuk Brazil di belakang Cafu, selain rekod 80 golnya kekal sebagai jumlah jaringan tertinggi dalam sejarah pasukan kebangsaan itu.-Agensi, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here