PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin berharap kemelut kekeluargaan yang sedang dihadapi rakan selebritinya, Abby Abadi, dapat diselesaikan dengan baik.
Memetik laporan Berita Harian, Raja Azura atau mesra disapa Kak Engku berkata, beliau mendoakan agar Abby diberikan ketenangan hati, sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT dan dipermudahkan urusan untuk berdamai dengan keluarganya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media Astro Fandom di D Theatre Malaysia, semalam.
Mengulas hubungan Abby dengan anak keduanya, Marissa Dania Hakim, Raja Azura yakin hubungan mereka mampu dipulihkan kerana percaya Abby dan bekas suaminya, Norman Hakim, membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang serta didikan yang baik.
Pada masa sama, beliau menasihatkan golongan ibu supaya mengutamakan kesejahteraan diri dan kesihatan emosi ketika berdepan ujian hidup, selain sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT.
Mengulas tindakan segelintir individu meluahkan masalah di media sosial, Raja Azura berkata setiap orang mempunyai pendekatan tersendiri, namun beliau lebih memilih untuk berdiam diri kerana percaya terlalu banyak bercakap boleh mengundang kesilapan.
Sebelum ini, hubungan Abby dan Marissa kembali menjadi perhatian selepas Abby memuat naik beberapa hantaran di media sosial berkaitan kemelut keluarganya.
Dalam perkembangan lain, Raja Azura kembali mengendalikan program realiti Kilauan Emas Selebriti selepas 11 tahun dan program itu dijangka menemui penonton dalam masa terdekat.-BH Online-
IMedikel TV






