Oleh: Wartawan IMedikel
JOHOR BAHRU: Seramai 3,565 petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan bagi melaksanakan pelbagai penugasan sempena proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang berlangsung esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kekuatan itu membabitkan 647 pegawai polis, 2,806 anggota serta 112 pegawai awam yang akan ditempatkan di lokasi strategik di seluruh negeri.
Katanya kontinjen Polis Johor kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi memastikan proses pengundian awal berjalan dengan selamat, lancar dan terkawal.
“Penugasan ini meliputi kawalan keselamatan di pusat-pusat mengundi awal, pengiringan peti undi, kawalan lalu lintas, rondaan pencegahan jenayah, penugasan di bilik gerakan, pemantauan lokasi strategik serta penguatkuasaan undang-undang di semua kawasan yang terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Abd Rahaman, proses pengundian awal PRN Johor kali ini membabitkan 64 pusat mengundi awal di seluruh negeri, merangkumi 53 pusat mengundi awal PDRM dan 11 pusat mengundi awal Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya seramai 12,710 pengundi awal daripada PDRM berdaftar bagi PRN Johor Ke-16.
“Daripada jumlah itu, seramai 12,067 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka di pusat-pusat mengundi awal esok, manakala 643 lagi akan mengundi melalui kaedah undi pos,” katanya.
Dalam perkembangan sama Ab Rahaman menegaskan PDRM Johor akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, pemantauan serta penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang proses pengundian awal dan baki tempoh berkempen PRN Johor Ke-16.
Katanya sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi.
“Orang ramai diseru supaya mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada petugas yang menjalankan tugas di lapangan.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan PRN Johor Ke-16 berlangsung dalam suasana aman, harmoni, selamat dan teratur,” katanya.
IMedikel TV






