Home Buletin Semasa BUDI DIESEL DILAKSANA SECARA AUTOMATIK, KEKANG KETIRISAN SUBSIDI DI SEMPADAN – FUZIAH

BUDI DIESEL DILAKSANA SECARA AUTOMATIK, KEKANG KETIRISAN SUBSIDI DI SEMPADAN – FUZIAH

Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) optimis pelaksanaan Budi Diesel secara automatik yang bermula semalam, mampu membendung ketirisan bahan api subsidi itu terutama di kawasan sempadan negara serta Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pelaksanaan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung serta kira-kira 3,000 lagi pemilik kenderaan menggunakan bahan api itu di Sabah dan Sarawak.

“Sebelum ini Sabah dan Sarawak  menikmati harga diesel bersubsidi secara pukal, sekali gus membolehkan sesiapa sahaja membeli diesel pada harga subsidi tanpa pengesahan kelayakan.

“Kalau sebelum ini, Budi Diesel Individu sebanyak 180,000 bantuan tunai telah mendaftar, tetapi kali ini ianya secara automatik.

“Maksudnya, di seluruh Semenanjung, ada 400,000 kenderaan berdaftar, kenderaan milik individu berdaftar menggunakan diesel. Manakala dii Sabah dan Sarawak ada 300,000 kenderaan berdaftar. Sebelum ini, Sabah dan Sarawak menerima harga subsidi secara pukal.

“Namun sekarang hanya kenderaan yang berdaftar untuk individu akan menerima subsidi, harga diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter. Jadi, ini secara tidak langsung akan membendung ketirisan di sempadan terutamanya di Sabah dan Sarawak,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tinjauan pelaksanaan mekanisme bantuan Budi Madani Diesel di Stesen Petronas Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

Beliau berkata pelaksanaan Budi Diesel adalah komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan subsidi disalurkan secara lebih bersasar, telus dan berkesan kepada golongan yang layak.

Katanya menerusi mekanisme baharu ini, rakyat yang memenuhi syarat kelayakan dapat menikmati diesel bersubsidi pada harga RM210 seliter dengan proses yang lebih mudah dan sistematik.

“Bagi kategori pemilik kenderaan diesel persendirian, syarat kelayakan meliputi warganegara Malaysia yang memiliki MyKad sah, mempunyai lesen memandu masih aktif bagi kelas dan jenis yang diluluskan, memiliki kenderaan diesel persendirian yang aktif serta kenderaan tersebut didaftarkan atas nama pemohon yang juga merupakan pemegang lesen memandu yang layak.

“Penetapan syarat ini penting bagi memastikan subsidi disalurkan kepada kumpulan sasar dan mengelakkan sebarang ketirisan.

“Selain itu pemilik berdaftar kenderaan diesel turut dibenarkan memindahkan kelayakan subsidi kepada seorang ahli keluarga terdekat yang adalah pengguna sebenar kenderaan berkenaan. Ahli keluarga yang layak terdiri daripada pasangan, ibu atau bapa, anak atau adik-beradik.

“Pindahan ini hanya dibenarkan sekali dan kepada seorang penerima sahaja dengan permohonan perlu dibuat melalui portal rasmi Budi Madani,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan turut memberikan pengecualian sementara fi Tukar Hak Milik (THM) bagi kenderaan diesel selama tiga bulan bermula semalam.

Katanya langkah itu bertujuan membantu pemilik mengemas kini rekod pemilikan kenderaan di semua kaunter JPJ yang akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang sepanjang Julai ini.

“Kerajaan turut menambah kuota subsidi diesel sebanyak 100 liter kepada pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak, sekali gus meningkatkan jumlah kelayakan subsidi sehingga 300 liter sebulan bagi kategori tersebut.

“Mereka yang mahu menambah kuota boleh mengemukakan permohonan tambahan kuota di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Manakala urusan berkaitan Tukar Hak Milik kenderaan boleh dilakukan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Langkah ini mengambil kira keperluan penggunaan yang lebih tinggi dalam kalangan pemilik kenderaan berkenaan,”ujarnya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here