Home Buletin Semasa KPM LULUS 1,250 PROJEK NAIK TARAF SEKOLAH DAIF BERNILAI RM13.8 BILION

KPM LULUS 1,250 PROJEK NAIK TARAF SEKOLAH DAIF BERNILAI RM13.8 BILION

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan sebanyak 1,250 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara dengan nilai keseluruhan RM13.8 bilion.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, sehingga Jun 2026, sebanyak 813 projek telah siap sepenuhnya, manakala 173 projek sedang dalam pembinaan dan 264 lagi berada pada peringkat prabina.

Menurut kementerian itu, tempoh pelaksanaan projek adalah antara enam hingga 36 bulan bergantung kepada skop kerja serta keperluan penyediaan tapak.

“KPM sentiasa mengambil langkah proaktif bagi menangani isu sekolah daif di seluruh negara.

“Bilangan sekolah daif seperti yang dilaporkan media baru-baru ini adalah bersifat dinamik dan berubah dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu hari ini.

KPM berkata, pihaknya menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sentiasa menjalankan pemantauan rapi terhadap keperluan dan kebolehlaksanaan pembinaan bangunan gantian bagi sekolah yang dikenal pasti sebagai daif.

“KPM komited memastikan akses pendidikan berkualiti serta ekosistem pembelajaran yang kondusif di semua sekolah di seluruh negara demi manfaat murid, guru dan seluruh masyarakat,” katanya. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here