Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus memperkukuh komitmennya dalam menjaga kesihatan mata pelajar apabila menganjurkan Program Saringan Kesihatan Mata dan Sumbangan Cermin Mata Percuma untuk Murid-Murid Asnaf/Yatim di Sekolah Kebangsaan (SK) Redang, Jalan Pantai Cahaya Bulan, di sini hari ini.
Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM merangkap Pengerusi Program Intervensi Bersasar Myopia di Kalangan Pelajar Sekolah di Negeri Kelantan, Profesor Dr. Shatriah Ismail berkata, pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak, khususnya HPUSM, dalam memastikan kesejahteraan kesihatan mata dalam kalangan murid sekolah.
“Melalui program berkenaan, seramai 97 murid SK Redang berusia enam hingga 12 tahun menjalani saringan dan pemeriksaan oleh pasukan doktor mata HPUSM.
“Hasil pemeriksaan mendapati 24 murid mengalami rabun, empat mengalami juling dan seorang murid mengalami konjunktivitis alahan, manakala 68 murid lagi didapati mempunyai tahap kesihatan mata yang normal,”katanya.
Beliau berkata secara keseluruhan, seramai 29 murid yang dikenal pasti mengalami masalah mata sudah dirujuk ke Klinik Oftalmologi HPUSM untuk penilaian lanjut.

“Bagi murid yang dikenal pasti mengalami rabun serta memerlukan cermin mata tetapi kurang berkemampuan, mereka telah dirujuk kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi mendapatkan bantuan cermin mata.
“Dianggarkan seramai 15 murid layak menerima bantuan cermin mata daripada MAIK,”katanya.
Beliau berkata, program intervensi kesihatan mata pelajar yang diterajui HPUSM telah dilaksanakan di seluruh Kelantan sejak tahun 2022.
Program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 1 petang itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), MAIK, Optometris Keluarga serta Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.
IMedikel TV






