Home Hiburan JAMAL ENGGAN ANAK JADI ‘JAMAL 2.0’

JAMAL ENGGAN ANAK JADI ‘JAMAL 2.0’

29
0

HULU KLANG: Raja Pop Negara, Datuk Jamal Abdillah, tidak mahu anak-anaknya dikenali sebagai ‘Jamal 2.0’, sebaliknya berharap mereka mampu mencipta identiti dan membina nama sendiri dalam industri seni.

Memetik laporan Berita Harian, Jamal, 67, berkata setiap anak mempunyai kelebihan dan hala tuju tersendiri yang perlu diterokai tanpa bergantung kepada populariti atau legasi yang ditinggalkannya.

Katanya, perkara paling penting adalah memastikan mereka mempunyai jati diri, terus menimba ilmu serta mampu bertahan dalam industri untuk jangka panjang.

“Saya sebenarnya mahu mereka cipta identiti dan karier sendiri supaya boleh bertahan dalam industri ini sampai bila-bila.

“Itu yang paling penting. Mereka juga perlu terus menambah ilmu dalam bidang muzik dan nyanyian selain membentuk peribadi yang baik supaya dihormati ramai.

“Jangan terlalu teruja dengan populariti kerana yang lebih penting adalah kekal bertahan dan terus relevan dalam bidang seni suara,” katanya ketika ditemui pada sidang media rakaman DJA Show: Siri Muzikal Aku Jamal: Suara Emas Digital di Studio Sound Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), di sini, baru-baru ini

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan tampil dengan single baharu dalam masa terdekat, Jamal tidak menafikan perkara itu malah memaklumkan bakal memasuki studio rakaman tidak lama lagi.

Katanya, lagu yang bakal dirakam adalah karya ciptaan komposer dari Singapura dan mengetengahkan elemen kerohanian.

“Itulah yang saya cakap tadi, saya memang tidak sempat berehat. Lepas ini saya akan ada sesi rakaman lagi untuk sebuah lagu single baharu daripada pencipta di Singapura.

“Sebuah lagu yang berunsur ketuhanan. Jadi memang saya tidak berehat dan akan terus merakamkan lagu baharu,” katanya.

Mengulas cadangan supaya beliau diangkat sebagai Biduan Negara, Jamal menyifatkan pengiktirafan sedemikian sebagai sesuatu yang cukup bermakna buat mana-mana anak seni.

Bagaimanapun, penyanyi yang sudah lebih lima dekad mewarnai industri muzik tanah air itu memilih untuk tidak terlalu memikirkan soal gelaran dan menyerahkan perkara berkenaan kepada rezeki serta ketentuan Tuhan.

“Bagi saya, anugerah atau gelaran itu adalah ketentuan Tuhan. Kalau Allah mahu berikan kepada saya, saya terima dengan penuh syukur.

“Kalau tidak dapat pun saya okey. Saya tetap akan meneruskan perjuangan seni seperti biasa,” katanya.

Turut hadir memberikan sokongan ialah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Dalam perkembangan lain, Jamal bakal menghiburkan penonton menerusi program DJA Show Siri Muzikal Aku Jamal: Suara Emas Digital yang menghimpunkan lebih 98 lagu sepanjang 13 episod siaran.

Program terbitan RTM itu dijadual bersiaran di TV2 selama 13 minggu berturut-turut bermula Julai ini dengan penampilan beberapa artis jemputan. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here