Home Sukan ANALISIS VIDEO JADI KUNCI GILL HALANG DUA PENALTI JERMAN

ANALISIS VIDEO JADI KUNCI GILL HALANG DUA PENALTI JERMAN

21
0

FOXBOROUGH: Selepas hampir tiga dekad menunggu detik gemilang di pentas Piala Dunia, Paraguay akhirnya mencipta sejarah apabila menyingkirkan juara dunia empat kali, Jerman, menerusi kemenangan 4-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan pada aksi pusingan 32 terbaik.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, kejayaan itu mengulangi impian yang tidak kesampaian generasi legenda penjaga gol, Jose Luis Chilavert, yang pada Piala Dunia 1998 hampir mengheret Paraguay ke penentuan penalti menentang tuan rumah Perancis sebelum impian itu dimusnahkan jaringan ‘golden goal’ Laurent Blanc pada minit ke-114.

Kali ini, giliran Orlando Gill muncul wira negara apabila menyelamatkan sepakan Kai Havertz dan Nick Woltemade, sebelum pertahanan Jerman, Jonathan Tah menyepak tinggi melepasi palang, sekali gus membuka ruang buat Jose Canale menyempurnakan penalti kemenangan.

Kekalahan itu turut mencatat sejarah hitam buat Jerman apabila buat pertama kali tewas dalam penentuan sepakan penalti di pentas Piala Dunia.

Bagi Gill, aksi cemerlang dalam penentuan penalti bukan sesuatu yang asing.

Penjaga gol berusia 24 tahun itu pernah menyelamatkan dua sepakan penalti ketika mewakili kelab Argentina, San Lorenzo, menentang River Plate dalam saingan Apertura pada Mei lalu, walaupun pasukannya tewas.

Tahun lalu pula, dia menjadi wira apabila melakukan penyelamatan penentu ketika penentuan penalti menentang Argentinos Juniors pada aksi suku akhir.

“Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata. Perlawanan ini sangat mencabar. Kami diserang dari semua arah, tetapi kami terus bertahan,” kata Gill.

Mengulas dua penyelamatan penting dalam penentuan penalti, dia berkata persiapan rapi menjadi kunci kejayaan.

“Kami membuat analisis terhadap setiap pemain dan setiap perincian sebelum perlawanan.”

Selain kehebatan Gill, kemenangan Paraguay turut dibina menerusi pendekatan bertahan yang diterapkan jurulatih Gustavo Alfaro.

Selepas dikritik kerana corak permainan defensif ketika saingan peringkat kumpulan, termasuk kekalahan 1-4 kepada Amerika Syarikat serta hanya menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan, Alfaro tetap mempertahankan pendekatannya ketika berdepan Jerman.

Kapten Paraguay, Gustavo Gomez, berkata pasukannya sedar mereka perlu mempamerkan identiti sebenar jika mahu mencipta kejutan.

“Hari ini kami perlu menjadi Paraguay yang sebenar. Saya rasa jauh di sudut hati mereka, Jerman tahu jika mahu menewaskan kami, mereka perlu berhempas pulas kerana kami akan memastikan kekalahan menjadi sesuatu yang sangat mahal buat mereka,” katanya.

Semangat juang itu sebenarnya sudah dipamerkan ketika Paraguay menewaskan Turkiye 1-0 pada peringkat kumpulan walaupun beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua dan berdepan 32 percubaan pihak lawan.

Ketika menentang Jerman, statistik jelas memihak kepada skuad bimbingan Julian Nagelsmann yang menguasai 75 peratus penguasaan bola serta menghasilkan 21 percubaan berbanding hanya tujuh milik Paraguay.

Namun benteng Paraguay yang beraksi tanpa tonggak pertahanan Omar Alderete akibat kecederaan berjaya mengekang hampir semua ancaman lawan.

Malah, Paraguay terlebih dahulu mengejutkan Jerman apabila Julio Enciso menanduk masuk hantaran silang Matias Galarza pada minit ke-42.

Jerman menyamakan kedudukan menerusi tandukan Havertz hasil hantaran Florian Wirtz sembilan minit selepas babak kedua bermula, namun terus buntu mencari gol kemenangan.

Mereka menyangka sudah memastikan tempat ke pusingan seterusnya apabila Tah menanduk masuk sepakan penjuru pada masa tambahan, tetapi jaringan itu dibatalkan selepas semakan VAR mendapati berlaku kekasaran terhadap Gill.

Kemenangan itu pastinya cukup manis buat Alfaro, 63, yang sebelum ini menerima kritikan termasuk daripada legenda Paraguay, Chilavert, yang menggesa pasukan mengamalkan corak permainan lebih menyerang.

Kini, Paraguay dijangka berdepan cabaran lebih besar pada pusingan 16 terbaik menentang Perancis, sekiranya Les Bleus menewaskan Sweden, dengan ancaman utama hadir menerusi ketajaman Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele.

Sebaliknya, Nagelsmann dijangka berdepan tekanan hebat mengenai masa depannya selepas Jerman mengalami penyingkiran mengecewakan buat kali ketiga berturut-turut di pentas Piala Dunia.

Jurulatih itu turut mempertikaikan keputusan VAR yang membatalkan jaringan Tah pada masa tambahan, namun menegaskan beliau masih berhasrat untuk terus mengemudi skuad kebangsaan Jerman. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here