SUNGAI PETANI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyita sebuah Toyota Alphard dalam Ops Luxury di Kilometer 4, Jalan Laguna Merbok–Sungai Jagong selepas mendapati kenderaan itu menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans yang telah tamat tempoh.
Dalam operasi itu, kenderaan berwarna putih berkenaan dipandu seorang lelaki yang dipercayai dalam perjalanan mengambil anaknya di sekolah sebelum ditahan anggota penguat kuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan milik isterinya itu menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh serta tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
“Susulan kesalahan yang dikesan, dua Notis P22 dan dua Notis Sita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dikeluarkan sebelum kenderaan tersebut disita untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Menurut JPJ Kedah, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan semua pemilik kenderaan mematuhi undang-undang jalan raya.
Sehubungan itu, pemilik kenderaan diingatkan supaya memastikan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans sentiasa sah sebelum menggunakan kenderaan di jalan raya.
IMedikel TV





