Home Buletin Semasa JIM TAHAN 17 WARGA ASING DALAM OPS KHAS DI KELANTAN, KUALA LUMPUR

JIM TAHAN 17 WARGA ASING DALAM OPS KHAS DI KELANTAN, KUALA LUMPUR

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus memperhebat penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI), penyalahgunaan pas serta penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan tanpa kebenaran menerusi siri operasi khas yang dijalankan di Kelantan dan Kuala Lumpur pada 22 dan 23 Jun lalu.

Dalam operasi di Kelantan, JIM Negeri Kelantan melaksanakan Ops Belanja/Sapu/Kutip dengan menyasarkan beberapa premis perniagaan di sekitar Kota Bharu termasuk kedai makan, bengkel dan syarikat tekstil.

“Hasil pemeriksaan di lima lokasi membabitkan tujuh individu, seorang lelaki warga Indonesia ditahan di Kampung Banggol kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.

“Turut diperiksa ialah beberapa premis perniagaan karpet dan koleksi pakaian yang dipercayai menggaji warga asing bagi mengendalikan operasi perniagaan mereka,”menurut kenyataan di laman rasmi.

Sementara itu, di ibu negara, JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaksanakan Ops Kutip di kawasan tumpuan pelancong sekitar Bukit Bintang.

“Operasi tersebut membabitkan pemeriksaan terhadap 20 individu daripada pelbagai kategori, termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), pemegang MyKAS serta warga asing yang menggunakan sijil kelahiran bukan warganegara.

“Daripada jumlah itu, seramai 16 individu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,”jelas kenyataan itu.

Menurut JIM, pelaksanaan operasi di kedua-dua negeri itu membuktikan komitmen berterusan jabatan dalam memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras sebarang bentuk penyalahgunaan pas dan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran.

JIM menegaskan bahawa penguatkuasaan bukan sahaja tertumpu kepada warga asing yang melakukan kesalahan, malah turut melibatkan tindakan terhadap mana-mana pihak yang melindungi, menggaji atau memudahkan pelanggaran undang-undang imigresen.

Sehubungan itu, jabatan berkenaan akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan, bersasar dan bersepadu bagi memastikan kedaulatan undang-undang serta keselamatan negara sentiasa terpelihara.

“Orang ramai dan majikan turut diingatkan supaya tidak melindungi atau menggaji PATI serta memastikan setiap penggajian warga asing mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“JIM menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63,”tegas kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here