Home Buletin Semasa ASN 2026 DITANGGUH, MOTAC TERUS PERKASA SEKTOR SENI DAN BUDAYA

ASN 2026 DITANGGUH, MOTAC TERUS PERKASA SEKTOR SENI DAN BUDAYA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengumumkan penangguhan penganjuran Anugerah Seni Negara (ASN) 2026 yang dijadualkan berlangsung tahun ini susulan pelaksanaan langkah kawalan perbelanjaan mengurus kementerian bagi tahun 2026.

MOTAC dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan pelaksanaan Arahan Kewangan: Langkah-Langkah Kawalan Perbelanjaan Mengurus Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Tahun 2026 sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh pengurusan kewangan awam secara berhemat, cekap dan berintegriti.

“Langkah berkenaan turut mengambil kira keperluan semasa negara bagi memastikan sumber kewangan diurus secara bertanggungjawab serta memberi tumpuan kepada keutamaan nasional.

“Bagaimanapun, MOTAC menegaskan penangguhan tersebut hanya membabitkan majlis penganugerahan dan tidak menjejaskan komitmen kementerian dalam memperkasakan sektor seni, budaya dan warisan negara.

“Malah, pelbagai program pembangunan kapasiti, pemerkasaan industri seni, pemuliharaan warisan serta inisiatif pengembangan budaya akan terus dilaksanakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Anugerah Seni Negara adalah pengiktirafan tertinggi negara kepada tokoh dan penggiat seni yang telah memberikan sumbangan cemerlang kepada pembangunan serta kemajuan seni tanah air.

Sehubungan itu, MOTAC menegaskan ASN kekal sebagai agenda penting kementerian dan kesesuaian penganjurannya akan terus dinilai pada masa hadapan berdasarkan kedudukan semasa serta keutamaan kerajaan.

Dalam pada itu, kementerian merakamkan penghargaan kepada semua penggiat seni, badan bukan kerajaan (NGO), institusi budaya dan pihak berkepentingan yang sentiasa memberikan komitmen serta sokongan dalam usaha memartabatkan seni, budaya dan warisan negara.

“MOTAC turut menghargai penglibatan awal dan kerjasama yang telah diberikan oleh pelbagai pihak dalam persiapan penganjuran ASN 2026 sebelum keputusan penangguhan dibuat.

“Sebarang perkembangan lanjut mengenai ASN 2026 akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi kementerian,”jelas kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here