INDONESIA: Seorang pesakit yang berada dalam keadaan kritikal dilaporkan meninggal dunia selepas ambulans yang membawanya terhalang oleh konvoi sebuah persatuan silat di Kabupaten Karanganyar, Jawa Tengah, malam Sabtu.
Memetik laporan lingkar.co, mangsa, Hadi Sukat, 60, yang juga penduduk Kecamatan Karangpandan disahkan meninggal dunia setibanya di Pusat Kesehatan Masyarakat (Puskesmas) Karangpandan kerana tidak sempat menerima rawatan lanjut.
Memetik laporan Agensi menerusi harian Metro, kejadian itu berlaku apabila jalan utama Solo–Tawangmangu dipenuhi ratusan peserta konvoi sempenan pengesahan anggota baharu persatuan berkenaan yang berpakaian serba hitam.
Kumpulan terbabit memenuhi hampir keseluruhan laluan jalan raya sambil meraikan aktiviti berkenaan dengan pembakaran bunga api serta bunyi bising daripada ekzos motosikal.
Seorang anggota sukarelawan Karangpandan, Agung berkata, pada malam kejadian, kebanyakan ambulans di daerah itu sedang bertugas menguruskan kes kebakaran sebuah kilang briket di Bangsri.
Katanya, terdapat juga sebuah ambulans yang ketika itu berada di sebuah hospital di Surakarta selepas selesai menghantar tiga mangsa yang cedera akibat insiden ditetak di Desa Ngemplak.
Selepas menamatkan tugas berkenaan, ambulans terbabit segera bergerak menuju ke rumah pesakit di Dusun Bulurejo, Desa Karangpandan bagi memberikan bantuan kecemasan.
Bagaimanapun, perjalanan pasukan penyelamat itu terhenti sepenuhnya apabila mereka gagal melalui jalan utama akibat dihalang oleh kumpulan peserta konvoi berkenaan.
Ambulans itu akhirnya berjaya tiba di rumah pesakit, namun sekali lagi berdepan kesukaran untuk menembusi kepadatan orang ramai ketika membawa pesakit ke puskesmas.
Sebaik sahaja tiba di fasiliti kesihatan itu, petugas perubatan mengesahkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia selepas pemeriksaan dibuat dan tiada lagi denyutan nadi dikesan.
Anak perempuan mangsa, Dwi Purnamasari, 36, meluahkan rasa kecewa yang mendalam terhadap tindakan kumpulan persatuan silat itu yang didakwa tidak memberi laluan kepada kenderaan kecemasan dalam situasi darurat.
Jenazah Hadi Sukat yang dikenali sebagai seorang individu yang ramah, prihatin dan dekat dengan masyarakat setempat selamat dikebumikan di TPU Nongko 2, Dusun Gedangan pada tengah hari Ahad. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






