KANADA: Mostafa “Zico” Mohamed sedang membuat persiapan untuk bercuti di pesisir utara Mesir apabila panggilan mengejut ke skuad kebangsaan mengubah semua perancangannya.
“Saya sudah lama tidak bersama skuad kebangsaan dan sejujurnya saya tidak menjangkakannya,” kata penyerang Pyramids FC itu selepas menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan ketika Mesir menang 3-1 ke atas New Zealand pagi tadi.
“Jurulatih Hossam Hassan memanggil saya ketika saya berada di pesisir utara. Saya hampir bercuti dan tiba-tiba saya berada di Piala Dunia.”
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, sebelum kejohanan bermula, Zico hanya dianggap pemain pinggiran, namun kini dia muncul antara pemain paling menyerlah dalam skuad Mesir.
Dinamakan sempena legenda Brazil, Zico, dia meneruskan tradisi bola sepak Mesir yang menyaksikan ramai pemain menggunakan nama bintang antarabangsa sebagai gelaran.
Pemain serba boleh itu mampu beraksi di kedua-dua bahagian sayap atau sebagai penyerang tengah dan membalas kepercayaan jurulatih dengan beberapa persembahan berpengaruh.

Dia menjaringkan gol pada aksi persahabatan sebelum Piala Dunia menentang Russia dan Brazil sebelum membuka akaun jaringan di Piala Dunia ketika menentang New Zealand di Vancouver.
Dalam perlawanan itu, dia turut mencipta bantuan jaringan buat Mohamed Salah menerusi hantaran tumit yang bijak di dalam kotak penalti.
Kemenangan ke atas New Zealand itu adalah yang pertama buat Mesir dalam sejarah Piala Dunia dan meletakkan mereka dalam kedudukan terbaik dalam Kumpulan G menjelang aksi terakhir menentang Iran.
Mesir kini memburu tempat ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka.
“Sejak hari pertama hingga sekarang, Hossam Hassan sentiasa memberikan keyakinan kepada kami,” kata Zico.
“Syukur saya tidak mengecewakannya walau sesaat.”
Walaupun Mesir memulakan kempen dengan baik, pemain tetap tidak mahu terlalu selesa dengan pencapaian setakat ini.
“Kami masih belum mencapai apa-apa lagi. Harapnya kami boleh melangkah lebih jauh,” katanya.
“Kami adalah pasukan terbaik di Afrika. Mengapa kami tidak boleh pergi sejauh mungkin pada kejohanan ini?” – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






