Menyedari kepentingan mempersiapkan diri menjadi muslimah lebih baik, pelakon, Wan Sharmila tampil mempertaruhkan naskhah sulung tulisannya berjudul ‘Menjadi Saidatina Khadijah Sebelum Bertemu Nabi Muhammad SAW’.
Memetik laporan Berita Harian, Wan Sharmila atau nama sebenarnya, Wan Sharmila Wan Muhamed, 45, menjelaskan naskhah sulung tulisannya bukanlah sebuah buku sejarah mengenai kisah hidup isteri Rasulullah SAW, sebaliknya ia merupakan satu simbolik dan panduan ringan buat golongan wanita Muslimah dalam mempersiapkan diri menjadi insan yang lebih baik.
Memperincikan mengenai tajuk bukunya, Wan Sharmila berkata, pemilihan nama tokoh Islam, Sayyidatina Khadijah adalah sebagai inspirasi daripada sifat-sifat wanita ahli syurga untuk dicontohi oleh masyarakat hari ini.
“Kita tidak akan boleh mendapat pasangan sama seperti Nabi kerana Baginda seorang Rasul manakala kita hanyalah manusia biasa.
“Nama Sayyidatina Khadijah digunakan sebagai simbolik kerana beliau antara contoh wanita syurga yang perlu kita pelajari dan contohi sifat-sifatnya. Walaupun seseorang itu tidak mencari jodoh, mereka tetap perlu mempersiapkan diri untuk menjadi versi lebih indah, baik dan diredai Allah.
“Di dalam buku ini, saya muatkan kata-kata yang pernah saya pelajari sebelum ini, doa-doa yang pernah didengar, selain menyelitkan kisah Nabi bersama isteri Baginda serta contoh kehidupan lain.
“Ia memberi ruang kepada golongan Muslimat belajar tentang sifat yang patut ada sebelum mendirikan rumah tangga. Sebelum kita mencari pasangan yang bagus, kita sendiri perlu perbaiki diri dahulu,” katanya.
Ditanya mengenai proses penyelidikan bagi memastikan ketepatan fakta memandangkan ia menyentuh aspek agama, Wan Sharmila mengakui proses tersebut tidak memakan masa yang lama berikutan perancangan dibuat di saat akhir.
Wan Sharmila menegaskan aspek ketepatan fakta Al-Quran, hadis dan doa tetap menjadi keutamaan melalui kolaborasi bersama penerbit dan rujukan bimbingan pakar agama.
“Idea dicurahkan dalam buku ini hasil kolaborasi saya dan penerbit. Segala kandungan termasuk doa, petikan ayat Al-Quran dan hadis kami hantar kepada seorang ustaz yang memang sedia ada dalam pasukan produksi untuk disemak semula.
“Perkara-perkara berkaitan agama ini tidak boleh dibuat main. Jadi, kami minta ustaz untuk ‘double check’ supaya apa yang dikeluarkan adalah betul.
“Namun, sekiranya terdapat sedikit kesilapan, itu adalah kelemahan daripada pihak kami sebagai manusia dan saya memohon maaf. Tetapi apa yang pasti, kami sudah cuba lakukan yang terbaik,” katanya.
Bercerita lanjut, Wan Sharmila menyifatkan naskhah tersebut sebagai sebuah buku santai yang berkongsi ilmu-ilmu asas yang pernah dipelajarinya sebelum ini.
“Buku ini ringkas dan santai sahaja kerana saya sendiri masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Apa yang penting, saya cuba menyampaikan sedikit sebanyak ilmu asas untuk menjadi seorang wanita muslimah yang diredai Allah.
“Apabila kita sudah bersiap sedia dengan acuan yang sepatutnya, InsyaAllah sekiranya ditakdirkan belum bertemu jodoh, kita boleh menerima segalanya dengan tenang dan reda.
“Sebaliknya, jika bertemu jodoh kelak, kita sudah tahu persiapan untuk menjadi seorang isteri dan faham ciri-ciri pasangan yang patut dicari,” kongsinya. – BH Online –
IMedikel TV






