WASHINGTON: Stadium yang menjadi venue Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat diberikan nama sementara sepanjang kejohanan itu susulan polisi “stadium bersih” yang dikuatkuasakan FIFA.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, peminat yang menyaksikan aksi pertama Piala Dunia di bumi Amerika Syarikat mungkin tertanya-tanya tentang nama seperti Stadium Los Angeles, sedangkan venue berkenaan lebih dikenali sebagai Stadium SoFi, gelanggang pasukan NFL, Los Angeles Rams dan Los Angeles Chargers.
Polisi FIFA melarang paparan penjenamaan syarikat yang bukan penaja rasmi kejohanan di semua venue Piala Dunia.
Akibatnya, syarikat seperti SoFi, MetLife dan NRG yang membayar perjanjian bernilai ratusan juta dolar untuk hak penamaan stadium masing-masing terpaksa melihat nama venue mereka ditukar sementara kepada Los Angeles Stadium, New York New Jersey Stadium dan Houston Stadium sepanjang kejohanan.
Profesor Emeritus Sukan dari Universiti Syracuse, Rick Burton, berkata syarikat terbabit pastinya tidak gembira dengan situasi itu memandangkan mereka membayar jumlah besar untuk mendapatkan pendedahan jenama di stadium berkenaan.
Menurutnya, isu itu lebih ketara kali ini kerana semua perlawanan Piala Dunia 2026 berlangsung di venue sedia ada, berbeza dengan edisi terdahulu seperti di Qatar yang membina stadium khusus untuk kejohanan berkenaan.
Satu-satunya venue Piala Dunia 2026 yang tidak terjejas dengan peraturan itu ialah BC Place di Vancouver, Kanada.
FIFA dalam laman sesawang rasminya menjelaskan nama rasmi stadium sepanjang kejohanan diselaraskan dengan nama bandar tuan rumah dan mungkin berbeza daripada nama yang biasa digunakan secara tempatan.
Bagaimanapun, tidak semua venue dapat mematuhi peraturan itu sepenuhnya.
Di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta, logo gergasi Mercedes-Benz yang terletak di bumbung stadium tidak dapat ditutup tanpa menjejaskan struktur bangunan.
Media Amerika Syarikat melaporkan FIFA memberikan pengecualian khas bagi membolehkan logo berkenaan kekal dipaparkan.
Di Seattle pula, syarikat telekomunikasi Lumen mengambil pendekatan kreatif dengan menghasilkan video promosi yang mempersendakan usaha menyingkirkan semua penjenamaan syarikat itu daripada stadium yang ditajanya.
Situasi sama bakal berulang pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 apabila Stadium SoFi sekali lagi perlu menanggalkan semua penjenamaan penajanya bagi mematuhi polisi “stadium bersih” yang diamalkan penganjur temasya.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






