Home Sukan PIALA DUNIA HADIAH BUAT HAITI

PIALA DUNIA HADIAH BUAT HAITI

PORT-AU-PRINCE: Di sebalik kemelut politik, keganasan kumpulan bersenjata dan krisis ekonomi yang berlarutan, rakyat Haiti menemukan alasan untuk tersenyum apabila pasukan kebangsaan mereka kembali beraksi di pentas Piala Dunia selepas 52 tahun.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Haiti bakal memulakan kempen Kumpulan C menentang Scotland di Boston, esok, dalam penampilan kedua mereka di kejohanan itu dan yang pertama sejak 1974.

Menjelang detik bersejarah berkenaan, penduduk di ibu negara, Port-au-Prince, bergotong-royong membersihkan kawasan kejiranan serta menyediakan lokasi tontonan bersama bagi membolehkan penyokong mengikuti perlawanan secara beramai-ramai.

“Kami akan menonton perlawanan di kawasan ini, sebab itu kami membersihkannya.

“Kami fikir adalah lebih baik untuk memasang skrin besar supaya semua orang dapat menikmati detik yang sangat istimewa ini bersama-sama,” kata peminat bola sepak, Junior Emaus. 

Penduduk turut mengitar semula tayar lama yang diisi pasir untuk dijadikan tempat duduk buat penyokong yang dijangka membanjiri kawasan tontonan berkenaan. 

Kepulangan Haiti ke pentas terbesar bola sepak dunia membawa makna yang cukup besar buat negara Caribbean itu yang bergelut dengan ketidakstabilan politik dan masalah keselamatan sejak beberapa tahun lalu.

Pasukan kebangsaan Haiti tidak pernah beraksi di laman sendiri sejak 2021 susulan peningkatan keganasan kumpulan bersenjata selepas pembunuhan Presiden Jovenel Moise.

Keadaan itu memaksa skuad kebangsaan bermain di gelanggang berkecuali apabila kumpulan bersenjata menguasai Stade Sylvio Cator, stadium kebangsaan negara berkenaan.

Namun segala kesukaran itu tidak menghalang rakyat Haiti daripada terus menyokong pasukan kesayangan mereka.

Pemandu teksi, Ronald, antara yang tidak sabar menantikan aksi pembukaan sambil membeli bendera Haiti untuk dikibarkan.

“Sabtu ini adalah perlawanan pertama Haiti di Piala Dunia. Haiti mesti menewaskan Scotland,” katanya penuh yakin.

Walaupun diundi dalam kumpulan sukar yang turut dibarisi Brazil dan Maghribi, penyokong Haiti tetap menikmati detik yang sudah lama dinantikan itu apabila pasukan negara kembali ke pentas terbesar bola sepak dunia.-Reuters, HMetro Online-

IMedikel TV    

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here