Home Buletin Semasa KUSTA MASIH WUJUD: KELANTAN CATAT LAPAN KES BAHARU PADA 2025

KUSTA MASIH WUJUD: KELANTAN CATAT LAPAN KES BAHARU PADA 2025

81
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Kelantan merekodkan lapan kes baharu penyakit kusta sepanjang tahun 2025, membuktikan penyakit yang sering dianggap sudah pupus itu masih wujud dan memerlukan perhatian berterusan masyarakat serta pihak kesihatan.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, walaupun jumlah kes di negeri ini kekal rendah dengan kadar insiden 0.37 bagi setiap 100,000 penduduk, penyakit tersebut masih dilaporkan setiap tahun di Malaysia.

“Secara keseluruhan sebanyak 381 kes baharu kusta direkodkan di Malaysia pada tahun lalu dengan kadar insiden 11.5 bagi setiap 100,000 penduduk.

“Seramai 516 pesakit masih menjalani rawatan di Malaysia bagi tahun 2025 dengan kadar prevalens 0.15 bagi setiap 10,000 penduduk, manakala kadar prevalens di Kelantan ialah 0.06 bagi setiap 10,000 penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Sambutan Hari Kusta Sedunia Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 dan Temu Seru Literasi Kesihatan Peringkat Daerah Tumpat yang berlangsung di Masjid Nurul Hidayah Mukim Gerong, Sungai Pinang, di sini pada Khamis.

Dr Mohd Azman berkata, tema sambutan tahun ini iaitu “Leprosy Is Curable, The Real Challenge Is Stigma” atau “Kusta Boleh Disembuhkan, Cabaran Sebenar Adalah Menangani Stigma” bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa penyakit kusta boleh dirawat dan disembuhkan.

Katanya, penyakit kusta atau Hansen’s Disease merupakan antara penyakit tertua di dunia yang berpunca daripada jangkitan bakteria Mycobacterium leprae yang ditemui oleh Dr Gerhard Armauer Hansen pada tahun 1873.

Menurut beliau, pada suatu ketika dahulu pesakit kusta sering berdepan stigma, diskriminasi dan pengasingan sosial kerana penyakit itu dianggap sebagai balasan atau kutukan akibat dosa yang dilakukan.

“Namun pada era moden ini, cabaran utama bukan lagi rawatan kerana penyakit ini boleh disembuhkan, sebaliknya persepsi dan stigma masyarakat terhadap pesakit,” katanya.

Beliau menjelaskan penyakit kusta merebak melalui titisan udara daripada pesakit yang belum menerima rawatan ketika batuk, bersin atau bercakap.

Sehubungan itu, amalan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin serta pemakaian pelitup muka dilihat penting bagi membantu mencegah penularan penyakit berkenaan.

“Antara gejala lazim penyakit kusta ialah kemunculan ruam atau tompok kemerahan dan putih pada kulit yang tidak gatal serta disertai kehilangan atau pengurangan deria rasa pada kawasan terbabit.

“Penyakit itu juga boleh menyebabkan kerosakan saraf periferi yang mengakibatkan kelemahan otot tangan atau kaki, kehilangan deria rasa dan kelumpuhan saraf muka jika tidak dikesan serta dirawat lebih awal,”katanya.

Beliau menasihatkan individu yang mengalami gejala berkenaan supaya segera mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran bagi membolehkan pengesanan dan rawatan awal dilakukan.

Tambah beliau, golongan berisiko tinggi termasuk ahli keluarga dan kontak rapat pesakit, individu yang tinggal di kawasan berisiko serta mereka yang mempunyai pendedahan berpanjangan kepada pesakit yang belum menerima rawatan.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, Kementerian Kesihatan Malaysia turut melaksanakan pemberian Single Dose Rifampicin (SDR) kepada kontak rapat yang layak, yang terbukti dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit kusta dan membantu memutuskan rantaian penularan dalam komuniti.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here