KUANTAN: Stadium Darul Makmur bakal berwajah baharu terutama tahap pencahayaan lampu limpah apabila menerima peruntukan RM7 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf kemudahan stadium itu.
Memetik laporan Harian Metro, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Fadzli Mohamad Kamal, berkata peruntukan itu membabitkan kerja menaik taraf lampu limpah, pendawaian elektrik dan tempat duduk penonton di stadium berusia 53 tahun itu.
“Perjuangan saya lebih tiga tahun dalam usaha mendapatkan peruntukan (RM7 juta) khususnya menaik taraf lampu limpah dan tempat duduk akhirnya tertunai.
“Ini kerana padang stadium juga bertaraf dunia dan penambahan baikan lampu limpah, tempat duduk dan pendawaian elektrik yang dinaik taraf melengkapkan kemudahan di stadium, sekali gus memberikan keselesaan,” katanya.
Pada Mei tahun lalu, Stadium Darul Makmur mencatat sejarah tersendiri apabila padang rumputnya diiktiraf oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebagai padang rumput semula jadi pertama di Malaysia yang menerima pensijilan melalui program kualiti FIFA permukaan padang semula jadi.
Padang rumput `Bermuda Tifgrand’ yang berasal dari Jepun lebih tahan lasak, kehijauan dan tumbuh rapat.
Fadzli berkata, tender projek itu akan dibuka bulan ini dan diuruskan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kerajaan negeri berterima kasih kepada KBS kerana menambah baik kemudahan Stadium Darul Makmur,” katanya.-HMetro Online-
IMedikel TV






