KUALA LUMPUR: Tiga tahun tidak mementaskan konsert selepas acara terakhir pada Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur, terbit keraguan dalam hati penyanyi ini untuk kembali membawa persembahan mega, Faizal Tahir: Suara Rakyat di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 3 Oktober depan.
Memetik laporan Berita Harian, ketika penganjur, Hitman Solutions mengemukakan kertas cadangan dan lokasi konsert, Faizal mengakui mengambil masa beberapa bulan sebelum menerima lamaran itu sebaik menyedari lokasi acara.
“Satu daripada faktor kenapa saya pada mulanya tolak lamaran itu adalah faktor lokasi. Secara realistik dan ringkas, saya tidak fikir mampu memenuhkan arena itu nanti. Saya bukan artis yang dikenali sering mengadakan konsert.
“Dari dulu saya antara artis yang jarang mementaskan konsert kerana lebih selesa dengan persembahan korporat. Datang menyanyi setengah jam, kemudian balik.
“Mungkin saya sudah terlalu selesa dengan keadaan itu, di mana tidak perlu risau ada orang datang saksikan persembahan saya atau tidak.
“Saya anggap itu cabaran yang besar. Saya tidak fikir mampu jual tiket seperti sebelum ini. Lebih-lebih lagi dengan kewujudan pelbagai medium seperti YouTube, di mana mereka boleh tonton apa sahaja hanya melalui satu klik,” katanya pada sidang media pengumuman konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat di Ampang, di sini, baru-baru ini.
Menurut penyanyi berusia 48 tahun yang pernah digelar ‘Superman’ itu, dia bukan seperti penyanyi legenda, iaitu Datuk M Nasir, Ella dan Wings yang kerap mementaskan konsert dan memiliki pengikut tersendiri.
“Seperti saya katakan, saya sangat jarang mementaskan konsert. Jadi, saya bimbang konsert ini tidak mampu ‘pergi’ macam dahulu.
“Saya tahu tidak sepatutnya risau mengenai jualan tiket kerana itu adalah tanggungjawab penganjur. Tugas saya hanyalah memastikan persembahan lancar, terutama dari sudut stamina,” katanya.
Ditanya apa yang membuatkan beliau akhirnya bersetuju selepas berbulan-bulan penganjur menantikan jawapan, Faizal mengakui kesungguhan dan kertas cadangan menarik membabitkan konsep persembahan berunsur rakyat menarik perhatiannya.
“Jiwa saya kini lebih kepada kambing, kuda dan pertanian. Pada fasa sekarang saya lebih suka privasi dan bukan senang untuk berada di depan khalayak.
“Tiga tahun kebelakangan ini, ramai penganjur datang jumpa saya hendak buat konsert.
“Tetapi, apabila Rohit Rampal dari Hitman Solutions berkali-kali pujuk dan bawa kertas cadangan, poster dan sebagainya, saya akhirnya tertarik dengan konsep suara rakyat. Saya sendiri tidak akan mampu mementaskan konsert sedemikian,” katanya.
Faizal berkata, konsert dirancang lebih ‘grand’ atau mega berbanding persembahan lalu.
Berkongsi kebimbangan menjelangnya konsert itu, Faizal berkata, aspek kesihatan menjadi perkara utama yang bermain dalam fikiran berikutan sudah lama tidak menjayakan persembahan berskala besar.
Tambah Faizal, sejak akhir-akhir ini, beliau lebih selesa menjayakan persembahan dalam suasana lebih intim dan berskala kecil. Justeru, untuk persembahan berskala besar, beliau perlu memberi perhatian lebih kepada vokal dan stamina.
“Perkara pertama yang saya fikirkan adalah tahap kecergasan dan kesihatan. Sejak 20 tahun lalu, saya lebih selesa dengan persembahan lebih kecil… Ia sudah menjadi zon selesa saya.
“Dari segi komitmen, saya tidak risau. Apabila saya memberi komitmen kepada sesuatu, saya akan beri yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Faizal berkongsi dia bakal melancarkan EP sebelum menjelangnya konsert agar ada lagu baru untuk diperdengarkan kepada peminat.
Jualan tiket Faizal Tahir: Suara Rakyat bermula dengan sesi prajualan. semalam. Jualan umum dibuka hari ini mulai jam 3 petang. – BH Online –
IMedikel TV






