Home Buletin Semasa JPJ MELAKA TAHAN WARGA PAKISTAN SALAH GUNA KENDERAAN PERSENDIRIAN UNTUK AKTIVITI PERNIAGAAN

JPJ MELAKA TAHAN WARGA PAKISTAN SALAH GUNA KENDERAAN PERSENDIRIAN UNTUK AKTIVITI PERNIAGAAN

58
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka mengesan dan menahan sebuah kenderaan yang dipercayai disalahgunakan untuk tujuan perniagaan dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar negeri ini.

Menurut JPJ Melaka menerusi laman rasmi semalam, kenderaan tersebut dipandu oleh seorang lelaki warga Pakistan berusia 21 tahun ketika ditahan untuk pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa JPJ.

“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian, namun dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti perdagangan dan perniagaan termasuk membawa barangan untuk tujuan sewaan.

“Modus operandi berkenaan dipercayai dilakukan bagi mengelakkan pembayaran kadar cukai kenderaan komersial yang lebih tinggi seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang,”menurut kenyataan itu.

Susulan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap pemandu terbabit atas kesalahan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

JPJ Melaka dalam kenyataannya menegaskan pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan kenderaan yang tidak mengikut kategori penggunaan yang didaftarkan kerana perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan integriti sistem pelesenan dan percukaian kenderaan negara.

Jabatan itu turut memberi jaminan akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang jalan raya tanpa mengira kewarganegaraan.

“Patuh Undang-Undang, Selamat Di Jalan Raya,” menurut kenyataan itu. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here