PARIS: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menegaskan pertahanan utama William Saliba berada dalam keadaan baik dan tidak berdepan masalah serius menjelang kempen Piala Dunia.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, kenyataan itu hadir dua hari selepas laporan media mendakwa status pemain Arsenal berkenaan untuk beraksi di Piala Dunia menjadi tanda tanya akibat kecederaan belakang.
“William berada dalam keadaan baik dan kami akan menguruskan beban permainannya. Jika dia perlu bermain esok, dia boleh bermain,” kata Deschamps.
Saliba, 25, beraksi penuh selama 120 minit ketika Arsenal tewas kepada Paris Saint Germain dalam final Liga Juara-Juara (UCL), Sabtu lalu.
Pemain itu turut memainkan peranan penting membantu Arsenal menamatkan kemarau 22 tahun untuk menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris apabila tampil dalam 50 daripada 63 perlawanan musim ini.
Saliba melaporkan diri ke kem latihan Perancis pada Selasa bersama lima pemain PSG iaitu Bradley Barcola, Lucas Hernandez, Ousmane Dembele, Desire Doue dan Warren Zaire Emery.
Perancis akan menentang Ivory Coast dalam aksi persahabatan sebelum bertemu Ireland Utara beberapa hari kemudian sebagai persiapan terakhir ke Piala Dunia.
Deschamps berkata, beliau akan menguruskan pemain yang baru selesai beraksi dalam final UCL dengan lebih berhati-hati.
“Saya akan menguruskan enam pemain yang terbabit dalam final UCL, terutama mereka yang bermain sejak awal kerana kami mempunyai tugasan penting selepas ini,” katanya.
Saliba yang sudah mengumpul 31 penampilan bersama skuad senior Perancis sejak 2022 dijangka bergandingan dengan pertahanan Dayot Upamecano dari Bayern Munich di pertahanan tengah Les Bleus.
Perancis akan membuka kempen Kumpulan I menentang Senegal pada 16 Jun sebelum berdepan Iraq dan Norway. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






