Home Sukan PENEMBAK PAHANG LAKAR PRESTASI TERBAIK RAIH 14 PINGAT EMAS SUKMA SELANGOR

PENEMBAK PAHANG LAKAR PRESTASI TERBAIK RAIH 14 PINGAT EMAS SUKMA SELANGOR

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Kontinjen menembak Pahang membuktikan kehebatan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor kali ini apabila muncul juara keseluruhan acara berkenaan dengan meraih 14 pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa.

Pencapaian membanggakan itu terbukti apabila berjaya melepasi sasaran sembilan pingat emas yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Pahang (MSP) sebelum mereka bersaing pada temasya dwi tahunan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, pada SUKMA Selangor kali ini seramai 27 atlet kontinjen menembak terpilih membawa cabaran Pahang.

Katanya, prestasi atlet menembak kali ini dianggap terbaik dan memuaskan apabila berjaya membawa pulang 14 pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa melepasi sasaran pasukan berkenaan sebanyak sembilan emas.

“Saya amat berpuas hati dengan pencapaian pasukan menembak, kerjasama atlet dan jurulatih dalam tempoh panjang mengadakan latihan berakhir dengan pencapaian yang begitu memuaskan.

“Prestasi membanggakan turut dilakar penembak kebangsaan yang musim terakhir beraksi untuk Pahang dipentas SUKMA, Cheah Zen Hong apabila meraih sembilan pingat emas. Pencapaian berkenaan mengatasi apa yang dilakukan pada SUKMA Sarawak 2024 apabila hanya meraih tujuh emas, ” katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, pencapaian pasukan menembak pada SUKMA Selangor kali ini perlu menjadi contoh untuk pasukan lain berusaha meraih kejayaan sama pada SUKMA akan datang dalam usaha meletak kontinjen Pahang pada landasan sebenar.

Fadzli berkata, untuk memastikan prestasi pasukan menembak Pahang dapat terus bertahan pada SUKMA akan datang, usaha menghasilkan atlet terbaik yang mampu mencatat keputusan cemerlang pada setiap pertandingan perlu dilakukan barisan jurulatih bermula sekarang.

Untuk rekod pasukan menembak Pahang pada SUKMA Sarawak 2024, Tok Gajah muncul juara keseluruhan dengan merangkul 12 emas, lima perak dan empat gangsa.

Bagi Zen Hong, dia gembira apabila berjaya mendapat sembilan emas dan satu perak pada SUKMA Selangor kali ini, mengatasi pencapaian edisi SUKMA Sarawak 2024 sebanyak tujuh emas.

“SUKMA Selangor merupakan penampilan terakhir saya bersama pasukan Pahang, episod penutup tirai ini berakhir dengan pencapaian yang begitu membanggakan di gelanggang SUKMA. Sejarah manis kejayaan saya tinggalkan dengan harapan pencapaian pasukan menembak dapat diteruskan.

“Sembilan pingat emas bukan sesuatu yang mudah. Saya sangat gembira kerana dapat memecahkan rekod tujuh emas pada SUKMA edisi lepas. Bantuan saya untuk pasukan menembak Pahang kini berakhir,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here