Home Buletin Semasa KONVOI “SUBUH SRUPO JUMAAT” SATUKAN HOBI ANAK MUDA DENGAN DAKWAH

KONVOI “SUBUH SRUPO JUMAAT” SATUKAN HOBI ANAK MUDA DENGAN DAKWAH

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Deruman enjin motosikal memecah kesunyian awal pagi apabila sekumpulan penunggang motosikal menyertai Konvoi “Subuh Srupo Jumaat” menuju ke Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata program berkenaan bukan sekadar menghimpunkan peminat motosikal, sebaliknya menjadi wadah untuk mengeratkan ukhuwah serta mendekatkan golongan muda dengan masjid dan penghayatan agama.

Beliau berkata, perjalanan sebelum fajar itu memberikan makna tersendiri apabila peserta berkumpul dari pelbagai arah sebelum bergerak bersama menuju ke rumah Allah untuk menunaikan solat Subuh.

“Saya bangga melihat anak-anak muda yang ketika sebahagian masyarakat masih lena, sudah bersiap untuk berhimpun dan menyertai program ini.

“Mereka hadir kerana hobi, bertemu kerana motosikal, namun melalui hobi itu ukhuwah terjalin dan hati mereka terpaut untuk mengingati Allah SWT,” katanya menerusi laman rasmi beliau.

Menurut beliau, pendekatan mendekati anak muda melalui minat yang dekat dengan jiwa mereka adalah antara bentuk dakwah yang wajar diperluaskan.

Katanya, minat dan hobi anak muda tidak seharusnya disekat, sebaliknya perlu diraikan sambil diberikan bimbingan supaya ia menjadi ruang membina ukhuwah dan mendekatkan mereka kepada nilai agama.

“Destinasi kali ini bukan kedai kopi atau sekadar gathering, tetapi rumah Allah. Daripada bergerak sebaris di jalan raya, akhirnya bahu bertemu bahu dalam saf menghadap kiblat yang sama.

“Saya merakamkan penghargaan kepada penganjur, RXZ Forever Lagend, serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan dan berharap inisiatif seumpama itu dapat diperbanyakkan,” katanya.

Beliau berkata, usaha mendekati generasi muda secara santai dan bersesuaian dengan minat mereka diharap dapat membentuk hubungan yang lebih erat dengan masjid dan agama.

“Biar enjin terus berderum, asal azan lebih kuat mengetuk hati. Biar roda terus berputar, asal jiwa tidak kehilangan arah.

“Dari throttle ke takbir, dari jalan raya ke sejadah. Kerana hobi kita bertemu, kerana Allah hati kita bersatu,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here